KUALA LUMPUR, 23 JAN: Kewujudan kelompok parti dalam blok ketiga dalam pilihan raya umum akan datang hanya akan menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahudin Ayub berkata, ia merupakan satu perancangan sulit untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang yang semakin mendapat sambutan rakyat.
“AMANAH dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan melaksanakan kempen besar-besaran ke seluruh negara supaya rakyat benar-benar faham bahawa pakatan blok ketiga adalah proksi BN walaupun mereka menegaskan mereka tidak bersama BN.
“PPBM adalah parti yang boleh ditauladani dan diyakini kerana bersegera memperkukuh posisi bersama PH menentang kezaliman BN yang dilanda skandal terbesar hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, rakyat diajak supaya menolak mana-mana parti politik yang hanya ingin menjadi ‘King Maker’ dan kelihatan pro-BN. –Roketkini.com