Berita

PAS diseru nyata pendirian, usah dolak dalik lawan kleptokrasi

KUALA LUMPUR, 24 JAN: PAS diseru tidak berdolak dalik dan perlu menyatakan pendirian sama ada mahu berkongsi komitmen bersama Pakatan Harapan (PH) membanteras kleptokrasi dan menentang Umno dan Barisan Nasional (BN).

Gesaan ini dibuat Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad yang mencadangkan supaya Parti Amanah Negara (Amanah) bergabung dengan DAP.

Menurut Iskandar, pembangkang sedang berhadapan masalah kerana PAS enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan kerana kehadiran Amanah dan DAP.

“Adakah PAS akan memberi jaminan tidak akan wujud pertandingan tiga penjuru di kerusi-kerusi Pakatan Harapan melawan BN jika DAP dan Amanah bergabung?

“Adakah PAS akan berbaik-baik dengan pemimpin-pemimpin gabungan DAP-Amanah itu?

“Adakah Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang akan berkempen untuk calon-calon DAP-Amanah, melawan UMNO dalam pilihanraya, sekiranya Amanah bergabung dengan DAP?” soal Lip Eng dalam satu kenyataan.

Ini ujarnya termasuk kontroversi melibatkan RUU355 yang telah mencetuskan kegusaran dalam masyarakat majmuk di Malaysia kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Lip Eng berkata, kepimpinan PAS patut menyoal diri sendiri terlebih dahulu mengapa Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz memilih untuk tetap bersama PKR dan DAP menentang UMNO-BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

“Kenapa Tuan Guru Nik Aziz bekerjasama dengan Lim Kit Siang yang ‘kafir’ dan bukannya Datuk Seri Najib Razak yang ‘beriman’, Najib menggunakan harta kerajaan untuk tujuan peribadi selain namanya turut terpalit dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu serta skandal kewangan 1MDB?

“PAS mesti nyatakan siapakah ‘MO1’ dan sama ada MO1 serta mereka yang bersekongkol dengannya mesti dihukum kerana merompak berbilion kekayaan negara, menjatuhkan nilai Ringgit sehingga 45 peratus berbanding Dolar sepanjang empat tahun lalu, dan memporak-perandakan ekonomi negara,” katanya lagi. – Roketkini.com