Berita

Adakah Rukunegara sesuai dimasukkan dalam Perlembagaan atau TN50?

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Adakah prinsip Rukunegara lebih sesuai dijadikan sebahagian dari Perlembagaan Persekutuan atau dimuatkan dalam dokumen dasar pembangunan negara seperti Transformasi Nasional 2050 (TN50)?

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata perdebatan mengenai isu hangat itu mungkin lebih sesuai dibincangkan oleh sebuah Majlis Perundingan Kebangsaan mengenai TN50 yang terdiri dari wakil kerajaan, parti politik, masyarakat sivil, pemimpin agama, kumpulan hak asasi dan sebagainya.

Beliau sebelum ini mencadangkan agar majlis perundingan tersebut diketuai oleh Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak bagi memastikan TN50 merangkumi seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kawasan.

“Saya minta Perdana Menteri tidak lagi menunda penubuhan majlis tersebut, malah ia sesuai untuk diputuskan dalam mesyuarat Kabinet esok,” katanya.

Menurut Kit Siang, usaha kumpulan aktivis untuk menjadikan Rukunegara kembali relevan dan menjadi panduan kepada dasar awam dan undang-undang adalah amat terpuji dan tepat pada masanya.

“Lagipun, Malaysia sebenarnya tidak akan mendapat gelaran ‘kleptokrasi global’ jika kerajaan hari ini mentaati lima prinsip Rukunegara tersebut,” jelasnya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu kemudian mengimbas kembali lawatan lima harinya ke Jakarta dan Jogjakarta pada September tahun lalu, dan berpendapat pemimpin-pemimpin Indonesia amat memegang teguh prinsip Pancasila.

“Ia amat berbeza dengan negara kita. Pemimpin politik dan intelek ‘establishment’ seolah-olah sudah lupa dengan lima prinsip Rukunegara,” ujar Kit Siang.

Kumpulan aktivis yang menamakan diri mereka sebagai ‘Rukun Negara sebagai Mukadimah Perlembagaan’ baru-baru ini melancarkan kempen untuk menjadikan lima prinsip itu sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, peguam dan aktivis, Syahredzan Johan berpendapat prinsip itu tidak perlu dijadikan sebagai peruntukan undang-undang kerana akan menghilangkan kekuatan Rukunegara sebagai nadi aspirasi rakyat. – Roketkini.com