Berita

Kementerian Ku Nan dicadang tutup, agih dana RM1 bilion kepada rakyat

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) dicadang supaya membubarkan Kementerian Wilayah Persekutuan yang mempunyai tugas bertindih dengan pihak berkuasa tempatan di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

Saranan itu disuarakan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng susulan keputusan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz untuk menutup 14 pejabat pelancongan itu ekoran pertindihan kerja dengan agensi sektor berkenaan di setiap negeri.

“Atas sebab itu, Kementerian Wilayah Persekutuan juga wajar dibubarkan serta merta dan peruntukan RM1.161 bilion bagi tahun 2017 boleh diagihkan atau dibelanjakan untuk membina rumah mampu milik untuk pasangan muda dan keluarga berpendapatan rendah.

“Ini kerana kementerian tersebut sebenarnya tidak ada kerja pun, selain hadir ke acara rasmi untuk faedah liputan media. Tugasnya juga bertindih dengan tiga pihak berkuasa tempatan di Putrajaya, KL dan Labuan,” ujar Lip Eng dalam kenyataan hari ini.

Malah, menurutnya, kementerian itu yang kini dibawah kelolaan menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pernah dibubarkan oleh kerajaan sebelum ini, namun dihidupkan semula oleh Tun Abdullah Badawi ketika menjawat jawatan perdana menteri.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kementerian itu adalah suatu pertindihan dan hanyalah suatu makhluk politik yang memberi faedah kepada pihak-pihak tertentu sahaja,” kata Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.

Nazri, pada Isnin lepas, mengarahkan supaya pejabat Tourism Malaysia seluruh negara ditutup serta merta dan semua kakitangan serta pegawainya diserap ke ibu pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan atau agensi lain kementerian berkenaan.

Langkah itu, menurut beliau, dijangka mampu menjimatkan kos hampir RM6 juta setahun. – Roketkini.com