Berita

Syabas SPRM! Jangan gentar siasat penyelewengan Felda – Datuk Mohd Ariff Sabri

RAUB, 25 JAN: Pengerusi Biro Parlimen Felda DAP, Datuk Mohd Ariff Sabri berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneruskan siasatan mereka terhadap segala dakwaan penyelewengan pengurusan Felda tanpa rasa gentar.

“Kita ucap syabas kepada usaha gigih pegawai-pegawai SPRM yang membersihkan Felda dari rasuah dan salah guna kuasa.

“Sementara usaha ini dipuji, jangan berhenti setakat itu,” katanya kepada Roketkini mengulas laporan kejayaan SPRM menahan empat individu melibatkan Felda dalam Op Caviar semalam.

Media melaporkan, kesemua yang ditahan itu terlibat dalam penyelewengan projek pemindahan teknologi penternakan ikan sturgeon bernilai sekitar RM47.6 juta atau AS$10 juta sejak tahun 2014.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Raub itu berkata, SPRM juga perlu juga menyiasat pembelian Felda melalui Felda Global Ventures (FGV) terhadap kilang milik Procter and Gamble (P&G) yang tidak lagi beroperasi termasuk pembinaan kilangnya di Kanada.

“Kita juga meminta supaya SPRM menyiasat pembelian hotel-hotel di London. Siasat pembelian ladang oleh Koperasi Permodalan Felda pada harga tinggi dari pasaran.

“Kita menyeru supaya SPRM jangan gentar membersihkan integriti institusi yang menggunakan wang awam dari rasuah dan salah guna kuasa,” tegas Ariff.

Ini tegasnya termasuk menyiasat tindakan mencurigakan Felda yang yang telah meminjam RM6 bilion atau lebih dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Apa dia buat dengan duit itu? FELDA, melalui FGVH ketika itu, membeli beberapa kilang di Amerika yang dikenali sebagai Twin Rivers Technologies.

“Hasilnya, FELDA kerugian beratus juta dollar Amerika. Najib mesti bertanggung jawab keatas ini seperti juga pihak pengurusan pelaburan ini,” katanya lagi. -Roketkini.com