Berita

Skandal 1MDB masih panas, 4.4 juta carian di Google

GEORGE TOWN, 25 JAN: Skandal 1MDB yang dianggap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai sudah ‘selesai’ dan ‘tutup buku’, pada hakikatnya masih hangat diperkatakan masyarakat antarabangsa sehingga kini.

Melalui mesin carian web, Google, minggu lalu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, terdapat sekurang-kurangnya 255,000 hasil carian dalam jangka masa 0.42 saat.

Apa yang mengejutkan, katanya, semakan terbaru mendapati jumlah carian ke atas kata kunci syarikat bermasalah milik negara itu meningkat dengan ketara dalam tempoh yang lebih singkat.

“Saya terkejut hampir tidak percaya apabila sebentar tadi saya menaip ‘1MDB’ dalam Google dan mendapati terdapat 4.41 juta hasil carian dalam tempoh hanya 0.32 saat,” ujarnya dalam sidang media di Wisma DAP di sini hari ini.

Ia, menurutnya, bertentangan dengan intipati ucapan tahun baru 2016 oleh Najib yang memberitahu rakyat kononnya skandal RM50 bilion 1MDB dan skandal derma mega RM2.6 bilion telah diselesaikan dan bukan lagi isu sedangkan ia riuh diperkatakan dunia.

Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, pada Julai tahun lalu melepaskan Najib daripada sebarang salah laku membabitkan penggelapan dana 1MDB.

Keputusan itu tidak berubah meskipun sekurang-kurangnya tujuh negara termasuk Amerika Syarikat sedang menyiasat secara mendalam mengenai penyelewengan dana membabitkan syarikat hasil idea Najib itu.

Skor Indeks Rasuah Malaysia (CPI) paling teruk di zaman Najib

Sementara itu, menurut laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International (TI) hari ini, kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 54 berbanding 55 pada tahun lalu dengan skor 49.

TI menggunakan skala 0, paling korup sehingga 100 (paling bersih) dalam penilaiannya itu.

“Kedudukan Malaysia menurut agensi antarabangsa itu amat memalukan, memandangkan negara pernah menyasarkan ranking dan skor yang lebih tinggi pada masa lalu,” ujar Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Malah, katanya, skor CPI di zaman pentadbiran Najib adalah lebih teruk berbanding dua perdana menteri terdahulu.

“CPI 2016 TI membuktikan bahawa rasuah lebih teruk berbanding pentadbiran 22 tahun Tun Dr. Mahathir dan lima tahun pentadbiran Tun Abdullah Badawi,” ujarnya. – Roketkini.com