Berita

MB Perak diminta perjelas teka-teki projek Lebuhraya Jelas

IPOH, 25 JAN: Bagaimana mungkin Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir tidak tahu kewujudan projek Lebuh Raya Jelapang-Selama-Batu Kawan (Jelas) sedangkan beliau sendiri yang mengumumkan projek itu lima tahun lalu?

Merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertarikh 11 Mei 2010, Zambry dilapor menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara syarikat yang menguruskan projek itu antara Beta Mutiara Technologies (BMT) dengan ELAF Bank Bahrain.

Selain itu, Zambry juga dilapor mengumumkan projek tersebut dalam beberapa program, termasuk di hadapan Pemangku Sultan Perak ketika itu, Sultan Nazrin Muhibuddin Shah pada Julai 2010.

“Bagaimana Zambry boleh mengatakan projek ini misteri sedangkan ia dalam pengetahuan beliau selaku menteri besar?

“Saya tak kata beliau tipu, saya anggap beliau lupa,” kata Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Asmuni Awi dalam sidang media di sini, tadi.

Adun Pangkor itu, gesa Asmuni, wajar memberitahu situasi sebenar projek berkenaan jika timbul sebarang masalah, bukan menafikan kewujudannya.

“Kita alu-alukan projek itu yang akan beri manfaat dalam meningkatkan serta menjana ekonomi penduduk di kawasan terlibat. Beliau tidak patut menafikannya.

“Menteri Besar tidak wajar cuba menutup perkara sebenar tentang isu ini. Saya harap beliau bersifat amanah dalam menjelaskan dan memberi jawapan,” ujarnya.

Zambry pada 20 dan 21 Januari lalu dilaporkan berkata kerajaan negeri tidak pernah memberi sebarang perakuan terhadap pelaksanaan projek lebuh raya yang menghubungkan Jelapang-Selama-Batu Kawan.

Malah, ketika diajukan soalan mengenai perkara itu, beliau mendakwa kerajaan negeri langsung tidak tahu mengenai pelan perancangan lebuh raya tersebut.

Projek yang dilaporkan bernilai RM4.6 bilion itu dilengkapi dengan tiga lorong bagi setiap arah utara dan selatan. – Roketkini.com