Berita

DAP pernah bantu PAS semasa darurat 1977 Kelantan walau tiada hubungan politik

KUALA LUMPUR, 25 JAN: DAP merupakan satu-satunya parti yang membela PAS Kelantan dengan menentang pengisytiharan darurat di negeri itu pada tahun 1977 walaupun tidak pernah menjalinkan sebarang hubungan politik.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Anuar Tahir berkata, sokongan yang dihulurkan DAP itu berlandaskan prinsip demokrasi yang menentang sebarang bentuk rampasan kuasa kerajaan yang dipilih rakyat.

“Padahal masa itu, PAS dan DAP tidak ada hubungan. DAP dianggap sebagai parti bukan Islam dan PAS sebagai parti Islam. Tetapi atas nama demokrasi dan prinsip, DAP satu-satunya parti yang bangun menentang,” katanya kepada FreeMalaysiaToday.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keengganan PAS menyahut seruan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang untuk sama-sama memberi komitmen melawan kleptokrasi demi menyelamatkan Malaysia.

Menceritakan detik hitam itu, Anuar berkata pengisytiharan darurat pada 19 Oktober 1977 dibuat akibat rusuhan politik yang berlaku di Kota Bharu.

“Pada 1972, PAS pernah menyertai kerajaan campuran Perikatan ketika Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri.

“BN melantik Datuk Muhammad Nasir untuk menerajui Kelantan dengan mengetepikan Pesuruhjaya PAS negeri ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” ujar beliau.

Bagaimanapun pada tahun 1978, katanya, pengganti Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn bertindak mengeluarkan PAS dari BN kerana PAS bertindak memecat Datuk Muhammad Nasir sebagai menteri besar Kelantan menerusi undi tidak percaya di Dun Kelantan pada 15 Oktober 1977.

Perintah darurat di Kelantan itu ditamatkan selepas dua tahun manakala pilihan raya yang diadakan pada Mac 1978 pula menyebelahi kepada Umno.

“Hadi pernah mengingatkan ahli PAS, parti politik yang menentang darurat diisytiharkan di Kelantan hanyalah DAP, atas prinsip pengisytiharan itu bertujuan untuk merampas kuasa dipilih rakyat,” ujarnya.

Dalam pilihan raya umum 1978 itu kata Anuar, PAS hanya mampu mempertahankan dua kerusi saja di Kelantan manakala BN berjaya membentuk kerajaan gabungan dengan parti Berjasa. -Roketkini.com