Rencana

Tiada keperluan berangan jadi TPM tapi kerja keras pastikan kemenangan Pakatan

Saya ingin menjelaskan beberapa perkara penting berhubung dengan isu kesilapan Tun Mahathir yang mendakwa bahawa wujud permintaan jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan wakil parti DAP, jika Pakatan berjaya menawan Putrajaya kelak.

Pertama, Tun Mahathir sendiri telah mengesahkan terdapat kesilapan dalam kenyataan tersebut dan ia melegakan kami, khususnya rakan-rakan dalam DAP. Saya rasakan perkara ini tak perlu dibangkitkan lagi oleh sesiapan pun, termasuk saya selepas kenyataan ini dibuat.

Pada masa sama, persoalan paling penting pada ketika ini ialah mewujudkan garis politik yang jelas di antara pakatan pembangkang sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke 14. Malah, polisi-polisi baru perlu segera dirangka untuk memastikan manifesto pembangkang cukup lumayan untuk ditawarkan kepada rakyat.

Dua perkara pokok ini selayaknya mendapat perhatian serius di kalangan pemimpin-pemimpin pusat dan negeri, bukan memasang harapan, bukan isu siapa dapat apa atau itu hak siapa.

Perkara kedua, saya ingin menggesa kepada mana-mana ahli dan wakil rakyat DAP, termasuk yang berketurunan Melayu agar memadam apa jua angan-angan untuk menjadi itu atau ini apabila menang kelak. Kita menyertai parti DAP bukan kerana tarikan jawatan sebaliknya kita rimas dengan dasar UMNO dan kita yakin kita boleh mengubah sistem yang ada untuk kesejahteraan rakyat.

Tak perlu kita merujuk kepada perlembagaan atau undang-undang untuk mengabsahkan atau menjustifikasikan kelayakan kita untuk nak menjadi Timbalan Perdana Menteri hatta Perdana Menteri sekalipun. Ia bukan soal hak, salah atau benar tetapi ia soal keperluan.

Tiada keperluan bagi ahli atau wakil rakyat DAP untuk berangan-angan ke jawatan tersebut, sebaliknya tugas politik DAP ialah untuk memastikan kemenangan parti dan rakan-rakan pakatan dalam pilihanraya.

Alternatif yang ada dan yang lebih penting adalah, adakah DAP mampu meyakinkan rakan-rakan pakatan pembangkang bahawa reformasi sebetulnya mampu diterjemahkan dalam kemenangan kelak.

Jika DAP mampu meyakinkan rakyat dan rakan pakatan pembangkang agar melaksanakan agenda reformasi pilihanraya kerajaan tempatan hinggalah parlimen, saya rasakan inilah impian yang patut wujud dalam citra ahli DAP.

Memastikan calon PM yang kredibel dengan sistem yang berintegriti lebih hebat dari Melayu DAP bercita-cita mahu jadi Timbalan Perdana Menteri.

*Mahdzir Ibrahim merupakan Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor