Berita

Najib perlu panggil mesyuarat tergempar OIC bantah sekatan Trump terhadap warga tujuh negara Islam

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memanggil mesyuarat tergempar OIC menuntut Trump membatalkan perintah berunsur anti-Islam yang menyekat kemasukan warga dari tujuh negara Islam daripada masuk ke Amerika Syarikat.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, bantahan daripada Najib terhadap perintah eksekutif Trump itu penting kerana ia dilihat satu bentuk penghinaan, tidak berperikemanusiaan dan tidak menunjukkan nilai negara Amerika yang sebenar.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memanggil mesyuarat tergempar Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) untuk menuntut Presiden Trump membatalkan perintah eksekutif yang berunsur anti-Islam untuk menghalang pelarian dan warga dari sekurang-kurangnya tujuh negara Islam daripada memasuki Amerika Syarikat selama 90 hari.

“Mesej bantahan dan kecaman daripada Najib terhadap perintah ini juga penting untuk disegerakan kerana beliau telah mengeluarkan satu mesej tahniah pada 21 Januari lalu semasa Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam,  Trump buat sementara waktu telah mengumumkan untuk menghentikan kemasukan semua pelarian selain sekatan selamanya untuk pelarian dari Syria.

Presiden Amerika itu juga  mengharamkan kemasukan pemegang visa dari sekurang-kurangnya tujuh negara Islam lain Iran, Iraq, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yaman buat sementara waktu. –Roketkini.com