Berita

“Terima kasih TMJ, berani desak SPRM siasat” – Guan Eng

PADANG KOTA, 1 FEB: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menzahirkan rafak sembah penghargaan di atas keberanian Tengku Mahkota Johor (TMJ) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu berkata, tindakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pembabitan Annuar Musa dalam penajaan MARA ke atas skuad bola sepak Kelantan baru-baru ini adalah pendorong utama kepada siasatan yang dilakukan SPRM.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu merafak sembah ucapan terima kasih kerana Tengku Mahkota Johor yang membuat aduan, baru dia (SPRM) boleh siasat.

“Terima kasih kepada Tengku Mahkota Johor (TMJ) kerana sekurang-kurangnya mendesak SPRM mula siasat,” katanya ketika berucap di sebuah majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di sini, tadi.

SPRM semalam mengesahkan satu kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa oleh Annuar yang turut digantung tugas sebagai Pengerusi MARA.

Agensi berkenaan dilaporkan akan bekerjasama dengan bahagian audit dalaman MARA bagi menjalankan siasatan ke atas beberapa isu rasuah dan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan Ketua Penerangan UMNO itu. – Roketkini.com