Berita

Biar rakyat pilih siapa pentadbir Wilayah Persekutuan

GEORGE TOWN, 3 JAN: Daripada berhasrat menjadikan Pulau Pinang, Melaka, dan Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan, adalah lebih baik Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) menumpukan usaha memulihkan pilihan raya tempatan di negeri serta daerah berkenaan.

Ini kerana, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, Kuala Lumpur, sebagai contoh, menerima peruntukan 13 kali ganda daripada apa yang diperoleh kerajaan negeri, tetapi rakyat di ibu kota berkenaan tidak berpeluang untuk mengundi.

“Wilayah Persekutuan kini ditadbir oleh kerajaan yang tidak dipilih melalui pilihan raya, dan diketuai oleh seorang Datuk Bandar, Presiden dan Pengerusi masing-masing bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Di Wilayah Persekutuan, tidak ada kawasan undangan negeri, dan kerajaan tempatan dilantik terus oleh kerajaan pusat. Namun, “agen-agen kerajaan pusat” ini tetap mengutip cukai dan membelanjakan wang rakyat.

“Contohnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijangka akan mengutip lebih RM1 billion dalam bentuk cukai taksiran pada tahun ini, merangkumi 42 peratus daripada jumlah hasil Dewan Bandaraya untuk 2017,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, perbelanjaan DBKL sebanyak RM28.7 bilion pada tahun ini adalah melebihi 13 kali ganda belanjawan kerajaan negeri Perlis, manakala hampir dua kali ganda belanjawan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.

Namun, sejak pilihan raya tempatan dimansuhkan pada 52 tahun yang lalu, penduduk di ketiga-tiga wilayah berkenaan tidak dapat memilih pemimpin yang dipersetujui mereka seperti negeri-negeri yang lain.

“Justeru, saya ingin memberi amaran kepada Menteri Wilayah Persekutuan agar jangan merosakkan demokrasi di negara ini.

“Daripada menjadikan tempat-tempat lain semacam Wilayah Persekutuan, saya menggesa agar Menteri memulihkan pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Selepas lebih separuh abad hidup dalam keadaan “percukaian tanpa perwakilan”, masanya sudah tiba untuk kerajaan persekutuan mengembalikan kuasa kepada rakyat di Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan,” tegasnya. – Roketkini.com