Berita

PAS diminta kemuka bukti fatwa mana yang dihalang kerajaan negeri

GEORGE TOWN, 2 FEB: PAS tidak boleh membuat dakwaan melulu ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang kononnya mencampuri urusan Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri, sebaliknya perlu memahami prosedur perjalanan pentadbiran kerajaan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah, Zulhazmi Shariff, tidak menjadi kesalahan atau bercanggah dengan Seksyen 48 untuk fatwa dikemukakan terlebih dahulu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan dari segi pentadbiran.

“Seksyen 48 adalah prosedur bagaimana sesuatu fatwa hendak dibuat dan diangkat serta diwartakan.

“Tuduhan PAS bahawa fatwa dicampur tangan adalah tuduhan tanpa bukti semata-mata. Sepatutnya mereka perlu mengemukakan fatwa yang mana yang telah dihalang dan diubah sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong,” tegas Zulhazmi.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof baru-baru ini yang mendakwa kerajaan Pulau Pinang mencampuri proses penfatwaan negeri.

Tohmahan berbaur fitnah ketua PAS Pulau Pinang itu bagaimana pun mendapat maklumbalas Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah campur tangan atau menghalang sebarang pewartaan fatwa negeri itu.

“Saya amat berharap agar ahli-ahli politik khasnya dan masyarakat amnya dapat menghormati fatwa yang diputuskan oleh mana-mana AJK Fatwa di negara ini sama ada di peringkat Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun fatwa negeri-negeri.

“Masyarakat hendaklah memahami bahawa keputusan fatwa dibuat berdasarkan kaedah-kaedah tertentu di samping mempertimbangkan kepentingan awam dan situasi sekeliling,” jelasnya.

Menurut beliau, sebarang fatwa yang hendak diwartakan akan dikemukakan terlebih dahulu ke dalam sesyuarat EXCO hanya untuk dimaklumkan dan bukan untuk dibahaskan.

“Kita ingin menjelaskan bahawa setakat ini belum pernah pihak exco atau Kerajaan Negeri menghalang pewartaan fatwa.

“Apabila mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri memutuskan untuk mewartakan sesuatu fatwa, ia dikemukakan terlebih dahulu di dalam mesyuarat exco oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Dr Wan Salim berkata, ia seterusnya dihantar ke pejabat Penasihat Undang-undang Negeri untuk diperbaiki serta dihalusi susunan bahasanya sebelum dihantar ke Istana Negara menerusi pejabat SUK untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

“Setelah diperkenankan oleh Baginda maka pejabat SUK sekali lagi menghantarkannya ke pejabat Penasihat Undang-undang negeri untuk tujuan pewartaan.

“Di harap penjelasan ni dapat menghilangkan kekeliruan masyarakat berhubung proses pewartaan fatwa dan tiada lagi dijadikan sebagai bahan polemik oleh mana-mana pihak,” katanya lagi. – Roketkini.com