Berita

Pulau Pinang jadi Wilayah Persekutuan: Ku Nan seperti seorang penjajah

GEORGE TOWN, 2 FEB: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menentang keras sebarang cadangan untuk menjadikan negeri itu sebagai Wilayah Persekutuan.

Melahirkan rasa terkejut dengan cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor semalam, Guan Eng menyifatkan cadangan tersebut merupakan suatu tipu helah dan tidak masuk akal sama sekali.

Lebih-lebih lagi ia dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan negeri-negeri yang disebutkan.

“Saya takkan jual Pulau Pinang. Hanya orang yang hilang akal akan cakap macam ini.

“Nak serahkan satu negeri jadi Wilayah Persekutuan ini tak masuk akal, pelik dan amat janggal. Pulau Pinang takkan bincang mengenai perkara ni,” tegasnya kepada media.

Jelas Guan Eng, cadangan itu juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana dilihat memberi ancaman terhadap perpaduan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia.

“Apa yang dikatakan (Ku Nan) tanpa sebarang rundingan mengancam perpaduan dan persekutuan Malaysia.

“Ini boleh dianggap sebagai hasutan. Sebab anda mengancam perpaduan persekutuan Malaysia,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut beliau Perlembagaan Persekutuan telah menyenaraikan bahawa negeri Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu merupakan negeri-negeri dalam persekutuan.

Selain Pulau Pinang, Ku Nan yang juga Setiausaha Agung Umno itu juga mencadangkan Langkawi dan sebahagian dari Melaka untuk menjadi Wilayah Persekutuan.

Beliau turut dilaporkan berkata bahawa negeri-negeri tersebut akan berasa gembira untuk diserahkan sebagai Wilayah Persekutuan kerana akan mendapat perhatian dan peruntukan yang lebih dari kerajaan.

“Kami tidak gembira langsung dan kami tidak mahu menyerahkan satu negeri jadi Wilayah Persekutuan. Ini tidak boleh diterima.

“Saya nak nyatakan di sini bahawa saya tidak mahu jadi Ketua Menteri Pulau Pinang yang terakhir.

“Beliau (Ku Nan) nyatakan bahawa akan boleh bagi lebih banyak wang (peruntukan)… Itu Kementerian Wilayah Persekutuan mana ada wang boleh bagi lagi. Skandal 1MDB buat sampai semua tak ada wang.

“Khazanah Malaysia sudah kering kontang, malah RM50 juta yang dijanji kepada SRJK pada 2016 sehingga tahun ini pun tak boleh bagi. Mana ada wang lagi kalau 50 juta pun tak ada!” tegas Guan Eng.

Beliau percaya negeri seperti Kedah dan Melaka juga tidak mahu menyerahkan sebahagian kepada kawasannya untuk jadi Wilayah Persekutuan.

“Pulau Pinang takkan bincang mengenai perkara ni. Saya terkejut dengan kenyataan bahawa kita akan gembira (jika serah negeri jadi Wilayah Persekutuan).

“Macam mana kita boleh gembira, runding pun tidak? Macam mana kita boleh gembira apabila kita rela jadikan negeri kita pupus?” soalnya lagi.

Tindakan Ku Nan itu kata Guan Eng umpama seorang penjajah yang mahu meluaskan empayar kekuasaannya.

“Dia macam seorang penakluk. Menakluk bebrapa wilayah untuk menambah empayarnya iaitu empayar Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya lagi. – Roketkini.com