Rencana

Demokrasi tak halalkan diskriminasi

JIKA ada pihak seperti ISIS yang memperalatkan agama untuk kepentingan sendiri, sudah tentu ada pihak seperti Trump yang memperalatkan demokrasi untuk kepentingan sendiri. Kita mudah lupa akan tragedi-tragedi diskriminasi dan penindasan yang berlaku atas nama kebebasan dan demokrasi.

Adalah tidak cermat dan tidak bermoral jika ada yang terima keputusan yang kononnya mengikut demokrasi ini. Lebih teruk, ada juga segelintir yang menjustifikasi dan membuat perbandingan tindakan perintah eksekutif Trump dengan tindakan pengeboman Amerika Syarikat yang dibawah pentadbiran Obama.

Isu perintah eksekutif Presiden Trump ini bukanlah isu agama, tetapi kemanusiaan dan demokrasi. Mereka yang membuat justifikasi perbandingan dengan pengeboman ini simplistik, gagal dan tidak mampu melihatnya dari kaca mata yang lebih besar. Masyarakat asal Malaysia terbentuk daripada latar belakang bangsa berbeza-beza, demikianlah juga Amerika Syarikat.

Muhammad Shakir Ameer

Di Amerika Syarikat, sejak Perang Dunia ke-2 sehinggalah 2015, dianggarkan 65.3 juta orang pelarian. Jika kita faham dengan betul politik liberal yang diamalkan di Amerika Syarikat, kita akan dapat melihat bahawa peluang kesamarataan itu harus diberikan kepada semua tanpa mengira bangsa mahupun agama. Peluang kesamarataan ini akan menyebabkan penjanaan ekonomi itu berjalan dengan lebih baik.

Di era moden ini, kita harus menyedari bahawa dunia kini bergerak secara global. Globalisasi peniagaan, perdagangan, ekonomi dan politik kesemuanya ada hubung kait di antara negara-negara.

Baru-baru ini, Trump dalam satu kenyataan, menyeru syarikat-syarikat Amerika Syarikat untuk pulang ke negara mereka untuk menghasilkan produk di sana sendiri. Potongan cukai berskala besar akan diberikan kepada syarikat-syarikat yang menghasilkan produk mereka di Amerika Syarikat manakala cukai yang berskala besar akan dikenakan kepada barangan import US yang dihasilkan di negara lain. Oleh itu, sangatlah naif untuk menyatakan bahawa dasar dasar Trump tidak memberi impak kepada ekonomi Malaysia.

Syarikat-syarikat besar seperti Dell, WD, Intel, AMD dan sebagainya akan beri kesan besar kepada tempat-tempat pasaran bebas seperti di Bayan Lepas, Pulau Pinang jika kilang-kilang ini berpindah pulang ke negara mereka. Demi pembangunan ekonomi negara dan atas nama “internationale” kita perlu bantah perintah eksekutif imigresen Trump ini.

Amerika Syarikat adalah satu negara yang sangat besar, pertikaian seperti mengapa perlu bantah perintah eksekutif ini adalah sesuatu yang tidak rasional kerana kesan globalisasinya sangatlah besar dan berkemungkinan akan menganggu dan menyebabkan pasaran dunia tidak tentu arah terutamanya sekali bagi negara sederhana seperti Malaysia.

Demokrasi berasaskan keputusan majoriti namun dalam apa jua keputusannya, kita harus meletakkan konsep kemanusiaan di tempat yang paling tinggi. Saya bukan anti-demokrasi tetapi anti-penindasan. Oleh itu, jika penindasan itu berlaku pada golongan tertentu, sebagai manusia yang bermoral kita patut bangun dan bantah.

Parti DAP yang sudah 50 tahun wujud di mana para pemimpinnya keluar masuk penjara kerana melawan penindasan dan diskriminasi oleh kerajaan Barisan Nasional sejak tahun 60an lagi. Membantah penindasan sebegini adalah konsisten dengan pendirian terhadap dasar apartheid di Afrika Selatan dahulu.

Oleh itu, sebagai manusia tak kira latar belakang kita harus bangkit melawan penindasan dunia sepertimana kita sendiri melawan penindasan di negara kita sendiri.

Bangkitlah rakyat Malaysia! – Roketkini.com

*Shakir adalah Bendahari Sosialis Muda DAP Selangor