Berita

Zaid dihalang adakan sidang media, wujud campurtangan UMNO?

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dihalang daripada mengadakan sidang media di The Royal Selangor Club, lokasi di mana beliau sepatutnya dijangka mengumumkan penyertaannya ke dalam DAP.

Zaid seperti dipetik The Malay Mail Online berkata, pihak pengurusan terpaksa membatalkan sidang media yang sepatutnya dijadualkan berlangsung esok di saat-saat akhir berikutan arahan daripada “pihak atasan”.

“Polis atau Putrajaya, saya tidak berapa ingat, tapi mereka (The Royal Selangor Club) beritahu saya bahawa ia adalah arahan dari pihak atasan,” katanya dipetik laman portal atas talian berkenaan.

Beliau bagaimanapun akan meneruskan sidang media tersebut di kediamannya dekat Petaling Jaya pada jam 9.30 pagi esok.

Sementara itu, Zaid dalam kemaskini laman sosial Facebooknya pagi ini turut mengesahkan perkara itu.

“Tapi saya akan adakan sidang itu di rumah saya, masa yang sama. Para jemputan akan diberitahu alamatnya,” katanya.

Malah, beliau dalam kemaskini yang lain turut menyifatkan campur tangan itu sebagai ketakutan Presiden UMNO-Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak berhadapan persepsi positif kaum Melayu terhadap DAP dengan desas-desus penyertaannya ke dalam parti itu.

Najib nampaknya takut benar kepada DAP; mungkin dia juga takut orang Melayu akan mendapat gambaran sebenar,” ujarnya. – Roketkini.com