Berita

Sabah dan Sarawak kunci perubahan di Malaysia

PETALING JAYA, 7 FEB: Sabah dan Sarawak merupakan kunci kepada perubahan di Malaysia tegas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia petang tadi.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) tidak boleh terlalu memberi tumpuan kepada isu-isu utama ‘Semenanjung’ sahaja tetapi perlu memainkan peranan supaya perjuangan PH dilihat menyeluruh.

Tanpa pendekatan menyeluruh ujarnya, ia akan memberi kelebihan kepada BN yang akan terus menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai negeri ‘deposit tetap’ mereka.

“Kita terlalu Semenanjung centric. Kita jangan lupakan Sabah dan Sarawak kerana mereka adalah kunci (perubahan).

“Tanpa Sabah dan Sarawak, kita tak ada harapan. Sabah Sarawak tidak boleh terus menjadi negeri deposit tetap BN,” tegas Guan Eng.

Selain itu, beliau mahu supaya isu yang diperjuangkan PH dan rakan-rakan gabungan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah ekonomi yang melanda rakyat dan negara.

“Kita kena beri tumpuan kepada isu ekonomi, jika kita dapat satu formula selesai isu ekonomi, kita akan dapat sokongan masyarakat Malaysia khususnya dari kau Melayu, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Guan Eng mengambil contoh apa yang berlaku kepada penyokong parti Demokrat yang akhirnya mengundi Trump dari parti Republikan memandangkan masalah ekonomi dan pengangguran yang melanda Amerika Syarikat.

“Trump gunakan isu ekonomi. Kebanyakan penyokong Demokrat kata mereka benci Trump tetapi mereka lebih benci kemerosotan ekonomi. Dari situ, mereka ubah undi,” katanya.

Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia ini dihadiri oleh semua pimpinan utama Pakatan Harapan seperti Presiden PKR, Datin Sri Dr Wan Azizah Ismail, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan sebagainya.

Ia dianjurkan oleh DAP sempena hari ulangtahun kelahiran ke 114 tahun Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman. –Roketkini.com