Rencana

Berus bulu babi: Jangan biarkan kontroversi memecahkan kita, rakyat Malaysia

Apabila pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyerbu kedai-kedai perkakas di seluruh negara untuk merampas berus cat yang diperbuat daripada bulu babi, ia mencetuskan kemarahan dan perasaan tidak senang di kalangan rakyat Malaysia.

Saya ingin bertanya satu soalan mudah; Setiap kali isu begini disensasikan oleh media, siapa yang mendapat faedah?

Propagandis yang memainkan isu ini adalah mereka yang cuba menanam ketakutan di kalangan Muslim dan bukan Muslim, dengan niat menimbulkan rasa sangsi antara kita. Apabila hal ini berlaku, ramai yang akan kembali ke ‘zon selamat’, iaitu dalam lingkungan kaum dan agama masing-masing. Akhirnya, kita akan kekal berpecah.

Sebagai rakyat Malaysia, saya sedar bahawa orang Muslim amat mengambil berat tentang isu makanan halal. Ramai di kalangan bukan Muslim juga faham perkara ini. Tetapi apabila berus cat, kasut, jaket dan barang-barang lain juga perlu diklasifikasikan sebagai halal, orang bukan Muslim tertanya-tanya sama ada hal ini benar atau hanya satu justifikasi untuk diskriminasi.

Ramai pemilik perniagaan kecil bukan Muslim takut dengan pihak berkuasa. Ramai di kalangan mereka adalah rakyat yang mematuhi undang-undang, dan ramai juga yang sedang bergelut untuk hidup. Pastilah mereka kecewa apabila melihat undang-undang yang berkaitan dengan Islam dipaksa ke atas mereka.

Di mata Berita Harian, serbuan berus cat itu telah menjadikan kementerian sebagai ‘juara dan pelindung agama Islam’ menentang ‘perniagaan bukan Muslim yang tidak bertanggungjawab’. Pada masa sama, perniagaan kecil dan bukan Muslim kecewa apabila isu itu dipaparkan di muka depan akhbar-akhbar berbahasa Cina.

Seolah-olah, Muslim dan bukan Muslim bersaing pula antara satu sama lain.

Ini bukan kali pertama situasi begini terjadi. Kontroversi ‘kek halal’ baru-baru ini yang melibatkan McDonald’s dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah menyebabkan rasa tidak senang antara Muslim dan bukan Muslim.

Bagi saya, ini bukanlah isu agama. Jadi, Muslim dan bukan Muslim harus berhenti daripada menyerang satu sama lain.

2017 merupakan tahun di mana rakyat Malaysia hidup dalam bahaya apabila kita memasuki kitaran pilihan raya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikaitkan dengan pelbagai skandal serta tidak lagi layak memerintah.

Semakin berpecah masyarakat, semakin mudah untuk pemimpin yang ada sekarang kekal berkuasa.

Dikhuatiri akan wujud lebih banyak isu yang bertujuan menanam ketakutan di kalangan Muslim yang kononnya akan mengancam kehidupan harian mereka, seperti isu halal ini. Akan ada juga provokasi Islamofobia di kalangan bukan Muslim. Kontroversi sebegini akan menjejaskan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, secara emosi dan psikologi.

Penting untuk orang Muslim sedar bahawa kebanyakan bukan Muslim tidak ada niat jahat terhadap mereka, dan untuk bukan Muslim memandang tindakan keras oleh pihak berkuasa itu bukanlah cerminan kepada tanggapan umum orang Muslim ke atas mereka. Generalisasi akan hanya menyebabkan prejudis dan rasisme.

Kita mesti bersama-sama berjuang menentang pengepungan mentaliti sebegini, terutama dalam situasi krisis politik yang hanya memberi keuntungan kepada kerajaan jika rakyat terus berpecah. – Roketkini.com

*Liew Chin Tong merupakan Ahli Parlimen Kluang merangkap Pengerusi DAP Johor