Berita

DAP lebih awal hilang percaya terhadap wakil rakyat keluar parti – Tan Kok Wai

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Empat wakil rakyat DAP dari Melaka yang mengumumkan keluar parti semalam adalah kumpulan yang sering dilihat membawa masalah kepada parti.

Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai mengalu-alukan tindakan tersebut sambil menyifatkan apa yang berlaku semalam jelas menunjukkan bekas wakil rakyat itu mempunyai agenda jahat untuk menjatuhkan parti.

“Apa yg dilakukan jelas menunjukkan mereka ada agenda jahat dan kini telah dijadikan alat BN untuk burukkan parti.

“Kita sudah jangka mereka akan buat sesuatu seperti ini. Saya nak jelaskan di sini, sejak mereka kalah dalam pemilihan parti pada 2015, mereka telah bertindak macam-macam,” kata Kok Wai kepada Roketkini.

Menurut Ahli Parlimen Cheras itu, alasan kumpulan tersebut yang mendakwa sudah hilang kepercayaan terhadap parti adalah tidak munasabah.

“Mereka kata sudah hilang kepercayaan kepada parti tetapi sebenarnya parti yang telah hilang kepercayaan terhadap mereka. Dua dari mereka, Sim dan Goh telah diambil tindakan disiplin parti satu tahun lalu.

“Dalam tempoh setahun ini, banyak kali mereka buat kenyataan-kenyataan terbuka kepada media dan media sosial dengan tidak bertanggungjawab terhadap parti, kepimpinan termasuklah jawatankuasa disiplin pusat,” jelasnya.

“Mereka sudah betindak seolah-olah mewakili BN sendiri. Saya tak hairan dan saya alu-alukan mereka keluar parti dan ia umpama kanser,” katanya lagi.

Kok Wai turut berkata, ketiadaan mereka dalam DAP Melaka akan menjadikan parti lebih kuat dan bersatu-padu.

“Saya percaya pimpinan DAP Melaka sedia ada kini mempunyai pasukan yang lebih kukuh dan bersatupadu.

“Saya yakin mereka dapat satukan ahli-ahli parti menghadapi pilihanraya umum akan datang,” ujar beliau.

Semalam, empat wakil rakyat DAP dari Melaka iaitu Ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him, ADUN Duyong Goh Leong San, ADUN Bachang Lim Jak Wong dan ADUN Kesidang Chin Choong Seong mengisytihar diri keluar parti.

Ia sejurus Sim dan Goh tamat satu tahun menjalani tindakan disiplin parti akibat pelbagai masalah pada minggu lalu. -Roketkini.com