Berita

Sistem air graviti Impian Sabah tamat penantian empat dekad 2,000 penduduk

KENINGAU, 14 FEB:  Kemarau panjang hampir empat dekad bagi sekurang-kurangnya 2,000 penduduk Mukim Bunga Raya di sini sudah berakhir apabila bekalan air bersih daripada Projek Sistem Air Graviti Talayon Tanaru sudah boleh digunakan.

Sistem Agihan Air Graviti yang mencatat rekod 20.7 kilometer terpanjang di Malaysia ini dirasmikan 14 Januari 2017 lalu oleh Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam sebuah majlis yang dihadiri penduduk dan pemimpin setempat.

Projek ini merupakan inisiatif DAP dan Impian Sabah dengan menelan belanja sekitar RM267,000 melibatkan penyambungan paip meliputi lima kampung iaitu Kampung Melidang, Nahaba Baru, Bunga Raya, Kodop Baru dan Tonobon Baru.

Pembinaan sistem paip air graviti terpanjang di Malaysia itu berjaya disiapkan dalam tempoh kurang daripada dua bulan.

Selain memberi kemudahan kepada 282 buah keluarga dengan jumlah sekitar 2,000 penduduk, projek ini turut menyalurkan air untuk kegunaan Sekolah Kebangsaan Bunga Raya, Klinik Desa Bunga Raya, dewan serbaguna, beberapa balai raya, sebuah surau dan empat buah gereja.

Apa yang menyedihkan sebelum ini, walaupun hanya memakan masa 15 minit perjalanan dari Bandar Keningau, bekalan air bersih yang sepatutnya dinikmati penduduk di sini sejak puluhan tahun lalu umpama impian kosong.

Terpaksa beli air RM40 satu tangki

Peter Saili, Pengerusi DAP Keningau

Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili berkata, kewujudan sistem bekalan air graviti ini amat bermanfaat kepada penduduk-penduduk Mukim Bunga Raya.

“Sebelum ini, penduduk-penduduk di sini mengalami kepayahan mendapatkan air bersih terutama ketika muslim kemarau.

“Mereka terpaksa membeli air daripada pihak luar yang mencecah harga RM 40 untuk satu tangki. Mereka juga yang terpaksa berjalan kaki jauh mencari sumber air untuk kegunaan mandi, membasuh pakaian dan pinggan mangkuk,” kata beliau.

Dengan adanya sistem air ini, penduduk tidak lagi terbeban dengan ‘kemarau air’ yang telah berlanjutan sejak puluhan tahun di kawasan itu. Ia dibina melalui konsep gotong-royong melibatkan kira-kira 250 orang penduduk Mukim Bunga Raya. Turut membantu ialah para sukarelawan Impian Sabah yang datang dari serata Malaysia. -Roketkini.com