Berita

Dulu sayalah yang burukkan DAP, tapi… – Tun Dr Mahathir

ALOR SETAR, 14 FEB: Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu forum mengakui bahawa gambaran buruk terhadap DAP yang digunakan Datuk Seri Najib Razak pada saat ini pernah dilakukannya sewaktu memimpin Umno untuk menakutkan orang Melayu.

“Saya dulu menentang DAP dan sedikit sebanyak imej DAP yang buruk ini disebabkan oleh saya.

“Saya gambarkan DAP ini sebuah parti yang jahat yang nak kuasai Malaysia ini yang tidak mengambil hirau tentang nasib orang Melayu. Memanglah kalau kita nak menang lawan dengan orang, kita kena burukkan orang,” katanya.

Beliau membuat kenyataan itu dalam sebuah Wacana PPBM-DAP berjudul “Dimensi baru dan masa depan kuasa politik Melayu”.

Menurut Tun Mahathir, walaupun seluruh kaum di Malaysia mendapat banyak nikmat setelah mencapai kemerdekaan, rakyat masih terpisah mengikut kaum termasuk wujudnya perasaan takut menyelubungi kaum Melayu.

“Mereka amat takut kerana dimomokkan oleh Datuk Seri Najib kononnya kalau DAP menang, maka Kit Siang jadi Perdana Menteri. Maka takutlah orang Melayu kepada DAP ini,” ujarnya.

“Memanglah kalau kita nak menang lawan dengan orang kita mesti burukkan orang dan mereka pun burukkan diri saya.

“Jadi masa kita berlawan, kita kena tunjuk musuh kita tak baik, kita saja yang baik. Di mana-mana pun itu berlaku. Tetapi kita dapati yang baik ini boleh jadi buruk.

“Tapi kita dapati yang baik boleh jadi buruk dan inilah yang sedang kita lihat. Parti yang dulu melawan Malayan Union menang, dan kita merdeka, membangunkan negara kita, sekarang ini parti ini diketuai oleh penyamun,” katanya. –Roketkini.com

Tonton video di sini: http://www.kinitv.com/video/44647O74