Berita

Kerajaan negeri Pahang digesa ambil perhatian masalah Orang Asli

MENTAKAB, 14 FEB: Kerajaan Negeri Pahang digesa mengambil perhatian terhadap masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli di perkampungan Pos Iskandar Bera.

Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, hasil lawatan beliau baru-baru ini mendapati terdapat dua keluarga di kampung tersebut masih tidak menerima bekalan air bersih meskipun terdapat saluran paip utama di hadapan rumah mereka.

“Selain masalah air bersih, kita juga memandang serius masalah ibu tunggal yang kurang diberi perhatian oleh kerajaan di kawasan ini, ibu tunggal kurang pembelaan.

“Malah, ketiadaan pengangkutan awam yang memasuki kawasan kampung ini juga menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan perkhidmatan kereta sapu atau teksi yang tambangnya sudah tentu mahal,” katanya.

Kunjungan yang disertai Adun Mentakab itu adalah jemputan khas penduduk setempat dan ahli dari cawangan baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini.

Selain itu, menurut Tengku Zulpuri yang juga Naib Pengerusi DAP Pahang, ketiadaan papan tanda di setiap kampung di kawasan berkenaan juga menyukarkan pelawat serta saudara-mara penduduk yang ingin bertandang ke sini.

“Papan tanda Pos Iskandar pun tidak ada kecuali di jalan masuk utama, ini juga menyukarkan orang luar untuk datang ke sini kecuali berhenti bertanya kepada masyarakat setempat,”

“Daripada segi komunikasi juga lemah, bukan semua ada di kawasan ini,” katanya sambil menambah Orang Asli di kawasan itu juga menuntut agar kerajaan menyediakan Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) kerana kebanyakkan daripada mereka tidak mampu untuk memiliki rumah. – Roketkini.com