Berita

Prihatin terhadap wanita, anak muda, tarik minat aktivis Kadazan ini sertai DAP

PENAMPANG, 15 FEB: Siapa sangka, aktivis yang banyak berjasa dalam kemajuan Orang Asal di peringkat tempatan mahupun antarabangsa akhirnya menyertai parti politik.

Jannie Lasimbang, 54, yang merupakan bekas Setiausaha Agung Pakatan Penduduk Pribumi Asia berkata, dasar mewajibkan 30 peratus golongan wanita mengisi kepimpinan parti menjadi antara faktor yang menarik minat beliau untuk menyertai DAP.

Dalam wawancara bersama portal berita atas talian, BorneoToday, beliau yang juga aktif dalam BERSIH cawangan Sabah mengakui bahawa DAP mempunyai struktur kepimpinan yang kuat dan serius dalam mengembangkan potensi wanita dan anak muda.

“Saya juga tertarik dengan cara mereka (DAP) yang efektif dan pantas dalam bertindak untuk membantu memenuhi keperluan komuniti luar bandar,” katanya yang juga Pengerusi Dana Sukarela Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Komuniti Orang Asal.

Tambah beliau yang juga bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), komitmen jangka panjang DAP dalam membela rakyat Sabah dan Malaysia secara keseluruhan juga adalah faktor mengapa beliau memilih untuk menyertai parti itu.

Jannie Lasimbang menyerahkan borang keahlian DAP kepada Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt

“Pemimpin dan ahlinya amat serius dalam mencari cara bagaimana untuk menangani sesuatu isu, malah saya sangat kagum dengan keprihatinan mereka terhadap komuniti Orang Asal, yang mana dianggap sebagai kaum terpinggir di negara ini,” katanya.

Menurut Jannie, penglibatan beliau dalam aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) bermula pada lewat 1984, sejurus selepas menamatkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda dalam bidang Biokimia di Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom.

“Penyertaan saya bermula pada 1985, selepas Parti Bersatu Sabah (PBS) memegang tampuk kuasa dan terpanggil untuk “merapatkan jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin’.

“Saya adalah sebahagian individu daripada kumpulan yang melakukan kajian kemiskinan di kawasan Kudat antara 1985 dan1987 namun cadangan-cadangan (kajian itu) tidak selari dengan kepentingan politik waktu itu,” katanya.

Katanya, keadaan ekonomi, sosial, budaya dan status Sabah dan rakyat yang semakin hari semakin buruk memaksa beliau untuk menyertai politik dan memilih DAP sebagai platform baru perjuangannya.

Misi memperkasa wanita

Menyentuh mengenai perancangannya setelah menyertai DAP, Jannie yang merupakan anak jati Kadazan berkata perkara pertama yang akan dilakukannya adalah untuk memperkasakan lagi penyertaan wanita di Sabah dalam kepimpinan politik.

“Saya kini dalam rangka untuk cuba berhubung dengan semua wanita DAP di Sabah, untuk membentuk semula atau membina kepimpinan Wanita DAP di setiap lima zon di Sabah, dengan memulakan komuniti pro-tem Wanita di sana.

“Komuniti ini pula akan membentuk pro-tem Wanita Sabah DAP dan saya jangka ia akan dilancarkan pada 18 Mac tahun ini. Ia akan menjadi platform untuk ahli wanita DAP bersama-sama merangka sebarang program,” katanya.

Beliau juga melahirkan kesediaan untuk bersama-sama kepimpinan parti memperjuangkan hak Sabah berdasarkan Tawaran Baru yang dirangka DAP untuk negeri di bawah bayu itu. – Roketkini.com