Berita

Pakatan Harapan, PPBM perlu dasar bersama yang jelas sebelum kongsi logo

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dinasihati supaya mengutamakan rangka kerja dasar bersama sebelum memikirkan perkara lain seperti bertanding di bawah satu logo.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, ia penting bagi memastikan gabungan parti-parti pembangkang mempunyai arah tuju yang jelas untuk mencapai misi menumbangkan UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Rakyat perlu diyakinkan bahawa pakatan pembangkang bukan hanya di sini untuk mencapai matlamat jangka pendek tetapi dilihat terus kekal dan mampu menawarkan sesuatu yang lebih baik daripada BN,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Mengakui bahawa “ancaman kleptokrasi” harus dibendung dengan segera, Gobind bagaimanapun berkata, Pakatan Harapan-PPBM memerlukan lebih daripada itu untuk terus maju ke hadapan.

“Kita harus jelas dalam apa yang kita mahukan dan apa hala tuju yang akan diambil untuk memastikan kemenangan ke atas Barisan Nasional dan kita perlu menjelaskan pendirian itu sekarang sebelum PRU bermula.

“Tanpa itu, cadangan mewujudkan satu logo malah pakatan pembangkang itu sendiri akan kehilangan tarikannya kerana rakyat meragui kemampuan kita dalam jangka masa panjang,” katanya.

Gobind yang juga Ahli Jawatankuasa DAP berkata demikian mengulas saranan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar setiap parti dalam pakatan pembangkang tidak terlalu memikirkan mengenai kepentingan parti masing-masing sahaja.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu juga menyarankan agar pakatan pembangkang menggunakan satu logo dalam PRU akan datang bagi menunjukkan kesepakatan parti-parti pembangkang. – Roketkini.com