Rencana

Ayuh Melayu, fikir secara kritis

SAYA masuk DAP atas beberapa sebab; tetapi yang utama ialah untuk mengajak orang Melayu UMNO mula berfikir secara rasional. Menyokong tanpa memahami isu sebenar seperti yang dituntut oleh Umno sekian lama, jelas melemahkan minda Melayu. Kesannya dilihat setiap masa.

Apabila Melayu Umno percaya cerita dongeng Raja Arab memberi sumbangan derma kepada Najib; dan percaya bahawa kerugian kepada kerajaaan dari kerenah 1MDB hanya 1 juta ringgit, maka itu petanda Melayu sudah hilang perhitungan yang rasional.

Begitu juga isu Pulau Pinang yang di besar-besarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan. Ada orang Melayu Umno yang menyokong cadangan itu, sedangkan perkara itu mustahil dilakukan kecuali Kerajaan Pulau Pinang bersetuju dengannya. Samalah mengenai hal tuduhan DAP anti-Islam dan anti-Melayu, tidak seorang pun memberi fakta dan bukti yang jelas.

Apakah orang Melayu di Pulau Pinang didiskriminasi? Tunjukkan bukti, kerana saya pun nak tahu. Tetapi propaganda UMNO bermain dengan isu-isu sensitif ini tanpa sedikit pun peduli kepada fakta dan apa yang benar kerana mereka tahu ramai lagi ahli-ahli UMNO sudah tidak mampu berfikir lagi. Mereka turut kerana itulah tuntutan pemimpin mereka.

Sindrom sebahagian orang Melayu tidak lagi mahu berfikir secara rasional inilah yang menyebabkan saya masuk DAP, supaya dapatlah saya memberi penerangan tentang isu-isu yang dibangkitkan. Amatlah rugi bangsa saya jika mereka rela diperbodohkan oleh pemimpin mereka. Dimana maruah mereka?

Sekurang-kurangnya saya cuba untuk mengatasi penyakit yang dialami oleh orang Melayu hari ini. Memberi ruang yang sihat untuk Melayu berfikir secara kritis dan rasional ini menjangkau politik. Ia adalah usaha yang positif untuk membolehkan orang Melayu membezakan apa yang benar dan apa yang karut. Hanya dengan keupayaan ini mereka boleh maju dibidang lain.

Ada beberapa profesor kangkung meramalkan kemasukan saya dalam DAP itu tidak ada kesan langsung kepada orang Melayu. Cara akhbar dan portal BN menyerang saya, menunjukkan kebimbangan mereka. Saya tahu hati naluri orang Melayu. Ada yang cuba meremehkan kemasukan saya bahawa saya bukan Melayu biasa, tetapi Melayu liberal. Saya bukan liberal, cuma saya mempunyai minda yang terbuka.

Saya tidak endah sangat dengan cerita dongeng, atau cerita palsu. Misalnya, saya tidak takut kepada hantu UMNO. Saya menilai sesuatu perkara itu berasaskan fakta dan keadaaan. Itulah, pada hemah saya, cara bangsa Melayu yang maju perlu bertindak. -Roketkini.com

*Rencana ini disiarkan buat pertama kali di portal www.zaid.my