Berita

Gelang Patah catat peningkatan bilangan pengundi mencurigakan

GELANG PATAH, 17 FEB: DAP Johor mendakwa terdapat pertambahan drastik jumlah pemilih dipindahkan ke kawasan Parlimen Gelang Patah sejak tahun lepas.

Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Tan Hong Pin berkata, terdapat pertambahan sekurang-kurangnya 13,000 pemilih didaftarkan dalam suku terakhir 2016.

Justeru, katanya, pihaknya telah melakukan tinjauan dan siasatan di 17 lokasi berbeza di kawasan Parlimen berkenaan khasnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya.

Hasil tinjauan dan siasatan itu, katanya mendapati terdapat sekurang-kurangnya 163 pemilih yang dicurigai didaftarkan di bawah beberapa alamat lot tanah kosong yang tidak berumah dan berpenghuni.

“Kami menyiasat satu alamat di Lima Kedai dekat sini dan mendapati tanah itu kosong walaupun terdapat 18 orang pemilih dengan nama keluarga yang berbeza tinggal di satu rumah yang sama di kawasan berkenaan.

“Hasil semakan kami juga mendapati terdapat enam nama didaftarkan di kawasan yang sama dalam pilihan raya yang lalu,” katanya dalam sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Gelang Patah di sini, semalam.

Sehubungan itu, Hong Pin yang juga Adun Mengkibol berkata, pihaknya akan menghantar bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum 20 Februari.

Beliau yang juga Setiausaha Sosialis Muda DAP (DAPSY) menggesa orang ramai yang mahu membuat aduan mengenai perkara tersebut untuk tampil berjumpa pihak DAP.

Sementara itu, Hong Ping dalam kemaskini Facebook rasmi miliknya hari ini memuat naik klip video yang memaparkan hasil tinjauan beliau di kawasan yang didakwa terdapat pemilih yang didaftar di bawah alamat rumah yang sudah lama tidak berpenghuni.

“Rakaman ini dibuat waktu semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan semasa bulan November yang lalu. Rumah yang dikosongkan beberapa bulan tetapi didaftarkan pemilih. Kerja siapa?” ujarnya dalam kemaskini tersebut.

Imbas kembali……Rakaman ini dibuat waktu semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan semasa bulan November yang lalu. Rumah yang dikosongkan beberapa bulan tetapi didaftarkan pemilih. Kerja siapa ?Saya yakin kes seperti ini bukan kes terpencil. Bagaimana pun, kami kekurangan tenaga kerja untuk menjalankan semakan secara sistematik dan besar-besaran. Penglibatan anda adalah penting dalam usaha ini adalah penting untuk memastikan usaha untuk manipulasi Daftar Pemilih oleh pihak tertentu dapat diberhentikan dan menegakkan sistem pilihanraya yang bersih.

Tan Hong Pin 陈泓宾发布于 2017年2月16日

Kerusi Gelang Patah dimenangi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi. – Roketkini.com