Berita

DAP tidak sertai demo PAS

KUALA LUMPUR, 17 FEB: DAP hari ini menegaskan bahawa tidak akan menyertai perhimpunan menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang dianjurkan PAS di Padang Merbok esok.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) semalam.

Dalam satu kenyataan bersama, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari bagaimanapun berkata, PAS berhak untuk mengadakan demonstrasi secara aman kerana ia dijamin Perlembagaan.

“Kami telah menetapkan pendirian dengan jelas. Kami tidak menyokong sebarang cadangan untuk meminda RUU berkenaan daripada sifat asalnya. Kami akan tetap menentangnya di Parlimen.

“Kami akan nyatakan sebab secara terperinci semasa usul pindaan RUU itu dibahaskan di Parlimen kelak,” kata kenyataan itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Abdul Awang seperti dilaporkan media hari ini menjangkakan 200,000 akan menghadiri perhimpunan menyokong usulnya untuk meminda RUU tersebut.

Perhimpunan itu didakwa bertujuan untuk memberi penjelasan dan percubaan untuk meraih sokongan terhadap pindaan RUU 355 atau RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) bagi memperkasakan mahkamah syariah dalam melaksana hukuman jenayah.

Pada hari yang sama, kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai BEBAS akan mengadakan himpunan balas di Taman Jaya, Petaling Jaya bertujuan untuk menunjukkan bantahan keras terhadap pindaan RUU 355. – Roketkini.com