Berita

DAP ikrar bantu anak mangsa mati dalam tahanan dapatkan IC Malaysia

KLANG, 17 FEB: DAP berikrar untuk membantu anak kepada mangsa mati dalam tahanan, S Balamuguram untuk mendapatkan kad pengenalan (IC) Malaysia.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang semasa mengunjungi keluarga mendiang semalam berkata akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi bagi membincangkan perkara itu.

“Dia (anak Balamuguram) tinggal di sini ketika berusia tiga tahun, bersekolah di sini, dan mendiang ayahnya sendiri adalah rakyat Malaysia.

“Saya berharap menteri dalam negeri (Zahid Hamidi) dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya dipetik laman portal berita, Malaysiakini.

Anak Balamurugan, Yanika, 14, lahir di Thailand di mana ibunya berasal dan ketika ini bersekolah di sekolah kerajaan di Klang, meskipun tidak berstatus warganegara Malaysia.

Keluarga kanak-kanak berkenaan membayar levi untuk membolehkannya bersekolah di sekolah awam dan memperoleh visa untuk menetap di negara ini.

Bagaimanapun, kini, keluarga berkenaan tidak ada sebarang sumber pendapatan memandangkan balu Balamurugan, seorang warganegara Thai, ketika ini tidak bekerja.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang turut sama dalam kunjungan itu berkata, akan membantu sedaya upaya menyelesaikan masalah ketiadaan IC yang dihadapi Yanika.

Selain itu, katanya, pihaknya juga akan mengadakan kempen kesedaran orang ramai berhubung peningkatan kes kematian dalam tahanan bagi mendesak pihak berkuasa memandang serius isu tersebut

“Dari tahun 2000 sehingga sekarang, kita mendapati sekurang-kurangnya 243 rakyat negara ini mati sewaktu dalam lokap (tahanan). Perkara ini harus dipandang serius oleh pihak berkuasa dan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Roketkini, hari ini.

Balamurugam mati ketika dalam tahanan pada 7 Februari lalu, selepas muntah darah di mahkamah pada awal pagi hari yang sama. Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati disebabkan serangan jantung.

Keluarga mendiang bagaimanapun memohon supaya bedah siasat kedua dibuat memandangkan terdapat kesan lebam dan kecederaan ditubuhnya yang menimbulkan keraguaan. – Roketkini.com