Berita

Jangan abai pendidikan kanak-kanak tidak bernegara

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Proses pendaftaran kanak-kanak tidak bernegara ke sekolah awam perlu dipermudahkan.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching berkata, ini kerana kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan itu seringkali dinafikan hak pendidikan mereka ekoran kerenah birokrasi.

Katanya, kanak-kanak tidak bernegara seharusnya dibenarkan bersekolah di negara ini jika salah seorang daripada ibu bapanya merupakan warganegara Malaysia.

Beliau merujuk kes seorang kanak-kanak tidak bernegara, Tan Yao Chun, 8, yang hanya dibenarkan untuk bersekolah di sekolah awam negara ini selepas media membuat liputan secara meluas dan mendapat campur tangan kerajaan.

“Selepas campur tangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah barulah kanak-kanak terbabit boleh mendaftar diri ke sekolah rendah.

“Bagaimanapun, dia yang sepatutnya memulakan persekolahan pada usia tujuh tahun telah terlambat setahun ekoran kelemahan sistem,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Pada dua tahun lalu, kata Nie Ching, beliau pernah membangkitkan mengenai adik beradik tidak bernegara Joey Wong dan Joanne Wong yang tidak dapat bersekolah.

Katanya, Joey hanya dibenarkan untuk memasuki sekolah rendah selepas beliau (Nie Ching) memohon kepada Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, katanya, kakaknya, Joanne yang memperolehi keputusan cemerlang 6A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pula dinafikan hak untuk meneruskan pengajian di sekolah menengah ekoran syarat-syarat yang diperketatkan kerajaan.

“Guru besar sekolah menengah berkenaan menjelaskan bahawa proses pendaftaran kanak-kanak tidak bernegara ke sekolah awam telah diperketakan tahun ini.

“Ibu bapa perlu membawa sendiri anak mereka ke Jabatan Pendidikan, bersama-sama keputusan UPSR, surat beranak, dan surat daripada guru besar sekolah tersebut,” katanya.

Namun, menurut Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai, kanak-kanak bijak berkenaan masih tidak dibenarkan menghadiri sesi persekolahan meskipun semua dokumen telah dilengkapkan dan dihantar kepada pihak kementerian.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan nasib kanak-kanak tidak bernegara yang tidak mendapat liputan media dan campur tangan orang politik bagi membantu menyelesaikan masalah mereka.

“Sehingga 2016, terdapat 290,437 kanak-kanak tidak bernegara berumur bahawa 18 tahun ada di Malaysia, jumlah yang amat besar jika dibandingkan dengan populasi penduduk di Perlis.

“Justeru, Kementerian Pendidikan perlu merangka satu garis panduan bagi menyelesaikan isu kanak-kanak tidak bernegara dinafikan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan,” ujarnya. – Roketkini.com