Rencana

Alahai Puad, apa hal Korea Utara dengan DAP?

Kata dulang paku serpih, mengata orang engkau yang lebih.

Itu gaya hebat pemimpin UMNO dari Johor, Datuk Dr Puad Zarkashi, yang kini menjadi bos Jabatan Hal-Ehwal Khas (JASA) dengan peruntukan RM22 juta setahun.

Dia duduk dalam Majlis Tertinggi UMNO. Dia juga ada PhD dari sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Selain membodek Perdana Menteri Najib Razak, JASA sebagai unit propaganda UMNO dan Barisan Nasional yang dibiayai oleh wang cukai rakyat selalu menyerang parti-parti pembangkang.

Terbaru, Puad menyamakan negara komunis Korea Utara yang ada bom nuklear dengan DAP yang selalu jadi mangsa fitnah UMNO.

Katanya nama rasmi Korea Utara iaitu Democratic People’s Republic of Korea (DPRK) sama dengan Democratic Action Party (DAP).

Amboi, dia nak perlekehkan DAP dengan perkataan demokrasi kerana kononnya DAP seperti Korea Utara yang berkuku besi dan menindas rakyat.

Eh, takkan dia tak tahu bukan DAP yang jadi kerajaan Malaysia?

Parti mana yang luluskan undang-undang ISA dulu? Parti mana yang gantikan ISA dengan SOSMA, POTA, Akta Perhimpunan Aman dan Akta Majlis Keselamatan Negara?

Kerajaan mana yang kuatkuasakan Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan bermacam lagi undang-undang zalim?

Mungkin lepas ini, dia nak samakan Korea Selatan dengan DAP pula sebab memang DAP pernah buat klip video lagu Gangnam Style untuk kempen PRU13 dahulu.

Tak cukup dengan itu, ada pula kisah “dinasti Lim”.

Memanglah Lim Guan Eng anak Lim Kit Siang. Tapi apa hebatnya “dinasti” kalau kedua-dua anak beranak itu pernah jadi mangsa tahanan ISA?

Selepas Guan Eng jadi Ketua Menteri Pulau Pinang, apa jawatan yang dia bagi kepada bapanya? Tak ada apa pun. Yang ada, hobi Kit Siang menangkap Pokemon.

Tapi dalam UMNO dan BN penuh dengan nepotisme dan kronisme. Kebas duit rakyat. Jadi kleptokrat.

Untuk kutuk Dr Mahathir Mohamad pula, Puad kata bekas Presiden UMNO itu sedang peralatkan DAP dan Kit Siang untuk jadikan Mukhriz sebagai Perdana Menteri. Pulak dah.

Alahai, dahulu parang sekarang besi, dahulu sayang sekarang benci.

Oleh itu kalau nak kenal DAP yang sebenar, layarilah roketkini.com atau dapmalaysia.org. Baik buruk semuanya di situ, dari yang empunya badan. – Roketkini.com