Berita

Pemuda UMNO diminta jujur jelaskan hubungan dengan parti pemerintah Korea Utara

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim menggesa supaya UMNO menjelaskan hubungannya dengan Parti Pekerja Korea Utara (WPK) yang menjadi pemerintah negara itu.

Gesaan ini dibuat susulan bantahan oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun bersama pemimpin BN lain terhadap kenyataan duta Korea Utara, Kang Chol yang disifatkan mereka sebagai merosakkan nama Malaysia berikutan siasatan kes kematian Kim Jong-nam.

Menurut Mahdzir, Khairul Azwan sepatutnya lebih peka dan sedar diri sebelum membuat bantahan itu kerana UMNO sendiri menjalinkan hubungan rasmi dengan parti pemerintah negara komunis tersebut.

“Beliau berlagak seakan-akan pemuda yang paling patriotik, sedangkan partinya sendiri ada hubungan dengan parti pemerintah Korea Utara itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, hubungan UMNO dengan parti pemerintah negara komunis itu jelas dilihat melalui perjanjian yang telah ditandatangani oleh wakil UMNO sendiri iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah pun menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin hubungan rapat dengan parti tersebut. Acara MoU ini juga telah dilaporkan oleh Utusan sendiri, dan juga BERNAMA pada 26 November 2014.

“Ini bukan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tetapi melibatkan hubungan antara parti politik yang memerintah (Malaysia) dengan satu parti politik (yang memerintah Korea Utara).” ujar beliau.

Persoalannya kata Mahdzir ialah kandungan dalam perjanjian yang telah ditandatangani itu dan adakah ianya masih sah?

“Saya fikir, ahli-ahli UMNO sendiri tidak tahu hubungan ini berbentuk apa. Sekurang-kurangnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mewakili UMNO semasa menandatangai MoU tersebut, boleh menerangkan kepada ahli-ahli mereka.

“Saya ingin menasihatkan Khairul Azwan, jika beliau benar-benar patriotik, beliau harus mendesak agar UMNO iaitu partinya, segera membatalkan terus hubungan rapat dengan Workers’ Party of North Korea (WPK),” tegasnya lagi. -Roketkini.com