Berita

“Teresa tak daftar 38 nama pengundi guna alamat pejabat seperti Khaled Nordin”

KLUANG, 23 FEB: Daripada terus menyerang pemimpin DAP yang tidak ada kena mengena dengan isu di Johor, adalah lebih baik Menteri Besar negeri berkenaan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjawab sendiri dakwaan terhadap dirinya.

Namun, sebaliknya pula yang berlaku semalam.

Bukan Khaled, tetapi Penolong Setiausahanya, Noor Azleen Ambros pula yang mempertahankan tindakan bosnya itu dengan mendakwa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kononnya melakukan kesalahan sama menggunakan alamat pejabat sebagai alamat pemilih.

Pun begitu, Adun Mengkibol, Tan Hong Pin secara sinis berkata, Teresa tidak menggunakan alamat pejabat untuk mendaftarkan 38 individu termasuk anaknya seperti yang dilakukan Khaled.

“Malah, Teresa seorang sahaja yang berdaftar di alamat pejabatnya. Ini fakta. Di Pejabat UMNO Pasir Gudang pula, selain Khaled Nordin dan dua orang anaknya, ada lagi 12 orang berdaftar di rumah kedai nombor 1, Jalan Tembusu 1.

“Manakala, 26 orang lagi didaftar di No. 3, No. 5 dan No. 7 Jalan Tembusu 1. Keseluruhan jumlah 38 orang ini didaftar secara bersekali pada suku keempat tahun 2016,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menyifatkan Khaled sebagai pengecut kerana tidak menjawab sendiri dakwaan terhadap dirinya, Hong Pin berkata Adun Permas itu tidak wajar mengheret pemimpin DAP dari negeri lain ke dalam isu melibatkan Johor.

“Saya berasa kesal dengan sikap Khaled Nordin yang cuba mengelak menjawab persoalan mengenai 38 pemilih yang dipindahkan atau didaftarkan di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang.

“Kerana ia jelas merupakan satu perbuatan memanipulasi daftar pemilih demi mempertahankan kepentingan parti itu,” ujarnya.

Sebelum ini, Khaled seperti dilaporkan media menafikan bahawa dia terlibat dalam memindahkan pemilih ke alamat pejabatnya.

Mengulas lanjut, Hong Pin yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Johor berkata, jika Khaled serius mendakwa perpindahan nama pemilih itu tidak dilakukannya, dia harus membawa perkara berkenaan kepada polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk siasatan.

“Mengapa Khaled enggan berbuat demikian? Saya mencabar pihak UMNO membuat laporan dengan segera bagi membuktikan kejujuran dan integriti mereka,” tegasnya.

Malah, memandangkan Khaled merupakan pemimpin tertinggi negeri adalah wajar baginya untuk menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat, ujar Hong Pin.

“Perbuatannya mengambil risiko menyalahi undang-undang demi mempertahankan kepentingan politik peribadi sangat mengecewakan.

“Khaled harus meminta maaf kepada seluruh warga Johor atas salah lakunya,” katanya. – Roketkini.com