Berita

Kerajaan P.Pinang selesai masalah tanah, 36 keluarga Kg Nenas dapat status pegangan kekal

BUKIT TENGAH, 27 FEB: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan status pegangan kekal bagi 36 keluarga pelbagai kaum di Kampung Nenas dalam kawasan Dewan Undagan Negeri Bukit Tengah.

Pengumuman dibuat setelah kerajaan negeri berjaya menyelesaikan masalah tanah pajakan yang berlaku terhadap penduduk sejak 37 tahun lalu.

Berucap dalam majlis penghargaan, Guan Eng berkata Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berjaya menyelesaikan masalah itu tidak sampai 37 bulan demi kepentingan rakyat lapor BuletinMutiara.

“Pemberian melibatkan 80 lot, kira-kira 4 ekar, dibeli oleh penduduk 37 tahun lalu, sekurang-kurangnya hari ini boleh diselesaikan dan diwarisi oleh anak, sekarang,” jelasnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Turut berucap ialah Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai serta Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dalam majlis penghargaan khas anjuran Persatuan Penduduk Kampung Nenas sendiri. Hadir sama, ADUN Jawi, Soon Lip Chee.

Difahamkan, lebih 30 tahun lalu penduduk kempung berkenaan telah membeli tanah di lot 3470 seluas 167.23 meter persegi hingga 282.89 meter persegi daripada tuan tanah persendirian.

Namun, segelintir penduduk telah menggunakan tanah berstatus pertanian itu untuk tujuan komersial sehingga dirampas oleh Kerajaan Negeri ketika itu.

Pada 24 Februari 2014, mereka memohon pemilikan semula tanah tersebut dan diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan pada 12 Mac tahun yang sama dengan kenaan 100 peratus atas premium tanah.

Penduduk pada 7 April 2014 sekali lagi memohon Kerajaan Negeri mengurangkan premium tanah.

Kerajaan Negeri pada 23 Oktober tahun sama meluluskan bayaran hanya 10 peratus daripada kadar premium asal untuk tempoh pemberimilikan 60 tahun atau 90 tahun.

Selepas itu, Kerajaan Negeri menukar status tanah daripada pegangan pajakan (leasehold) kepada pegangan kekal (freehold), selepas sekali lagi menerima rayuan daripada penduduk kampung berkenaan.