Rencana

BN ‘main-main’ perjuang hak dan pembangunan di Sarawak

Sarawak yang menyumbang 25 kerusi Parlimen kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu dianggap sebagai kubu kuat atau negeri deposit tetap BN menjelang PRU ke-14 akan datang.

Pemerhati politik dan pemimpin BN melihat kemenangan besar parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 lalu akan mengekalkan pencapaian cemerlang mereka pada PRU ke-14. Mereka juga berharap Sarawak dapat menyumbangkan lagi kemenangan besar BN di peringkat persekutuan meski ditentang sengit pembangkang baik dari Sememanjung mahupun Sabah.

Kepercayaan ‘BN akan menang lagi’ ini dibuat berdasarkan senario politik tempatan Sarawak yang tidak tergugat dengan isu nasional seperti isu GST, skandal 1MDB, KWSP, Tabung Haji, FELDA dan juga pelbagai skandal penyelewangan yang lain. Ini menyebabkan kerajaan persekutuan BN merasa selesa dengan pencapaian semasa mereka di Sarawak.

Tindakan kerajaan pusat menghadiahkan Sarawak dengan projek mega lebuhraya Pan-Borneo  seperti telah dijanjikan sekian lama dilihat kononnya sebagai suatu kejayaan besar BN, seterusnya dijadikan suatu simbol pencapaian BN terhadap janji dan manifesto pilihan raya mereka sebelum ini. Ia juga akan dijadikan modal politik kempen pilihanraya umum akan datang untuk mengambil hati pengundi.

Di sebalik semua ini, hakikatnya, BN pusat tidak buat banyak. Kemenangan BN Sarawak dalam PRN lalu tidak mampu menarik perhatian Kerajaan Persekutuan apabila hanya memperuntukkan RM1.5 bilion kepada projek Pan-Borneo itu yang dikongsi bersama Sabah.

Apa yang pasti, peruntukan itu tidak mampu menandingi pemberian kerajaan BN kepada Semenanjung yang memperuntukkan RM50 bilion sehingga RM55 bilion bagi pelaksanaan pembangunan seumpamanya.

Kesungguhan BN Sarawak boleh dipertikai apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di bawah Ketua Menteri yang baharu tidak membentangkan usul tuntutan Hak Sarawak bagi tujuan meminda Perlembagaan Persekutuan pada Persidangan DUN yang lalu. Ia jelas satu pembohongan nyata BN di depan mata pengundi dan rakyat Sarawak untuk menepati janji dan manifesto pilihan raya mereka.

Pada awalnya, BN Sarawak mencanangkan kononnya mereka akan mempertahankan Hak Sarawak. Mereka juga berjanji dan menyatakan kesediaan untuk membentangkan usul tersebut dalam persidangan DUN. Namun, janji tinggal janji, BN Sarawak telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pembentangan usul itu pada saat akhir. BN Sarawak memberi alasan bahawa mereka yakin dengan jaminan Kerajaan Persekutuan akan memberi kerjasama positif berkaitan tuntutan Hak Sarawak sebagaimana di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Apa yang berlaku ini  jelas menunjukkan BN Sarawak tidak bersungguh – sungguh memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan yang dikepalai UMNO dalam perjuangan menuntut hak Sarawak. Sebaliknya, pembangkang khususnya DAP sejak dahulu sentiasa konsisten menyokong sebarang perjuangan untuk memartabatkan hak Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Sikap tidak serius kerajaan BN-PBB Sarawak dan kemesraan mereka dengan UMNO menunjukkan satu kepura-puraan terhadap memperjuangkan hak dan nasib Sarawak. Hakikatnya, segala janji untuk mempertahankan hak Sarawak adalah lakonan dan politik semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Apa yang dilakukan BN-PBB-UMNO ini bukanlah satu dasar yang ikhlas memperjuangkan hak dan nasib pengundi khususnya pribumi yang telah mengundi mereka pada setiap kali pilihan raya. Justeru, rakyat Sarawak perlu sedar bahawa kita berhadapan dengan risiko untuk terus ketinggalan 50 tahun di belakang jika terus-menerus mengekalkan BN setiap kali pilihan raya. – Roketkini.com

*Paren Nyawi adalah Pengerusi DAP Katibas dan bekas calon Dewan Undangan Negeri Katibas, Sarawak.