Berita

Perlukah Khaled Nordin bercuti sementara SPRM siasat skandal rasuah tanah Johor?

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mungkin perlu mengambil cuti sementara menunggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiapkan siasatan berhubung kes skandal rasuah tanah di Johor.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini memandangkan hal ehwal membabitkan urusan tanah di negeri itu adalah diletakkan di bawah tanggungjawab Khaled sebagai menteri besar.

Kit Siang berkata demikian merujuk kes skandal rasuah tanah yang membabitkan anak pegawai khas kepada anggota Exco Johor, Abdul Latif Bandi.

Ekoran daripada itu Abdul Latif telah mengambil cuti sementara siasatan SPRM dijalankan.

“Adakah Khaled Nordin perlu mengikut jejak Abdul Latif itu?” soal Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Selain anak Abdul Latif, SPRM turut menahan lima individu lain berusia antara 25 dan 50 tahun di beberapa lokasi di Johor Bahru pada Jumaat lalu.

Agensi penguatkuasa itu turut merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen.

Kesemua suspek berkenaan disyaki bersubahat dalam kes pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis di Johor. – Roketkini.com