Berita

Sumbangan Pejabat Ahli Parlimen Kluang ringankan beban Sekolah Agama, Tadika Agama Johor

KLUANG, 2 MAC: Keadaan ekonomi yang menghimpit hari ini bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup rakyat, tetapi juga pengurusan institusi pendidikan negara ini.

Hal ini turut dirasakan Sekolah Agama dan Sekolah Tadika Agama Johor dekat Kem Mahkota, di sini.

Sekolah yang memiliki sekitar 300 pelajar itu kekurangan kertas A4 bagi urusan pentadbiran dan proses pembelajaran manakala Sekolah Tadika Agama Johor pula memerlukan sumbangan untuk membangunkan taman permainan mini bagi aktiviti luar bilik darjah yang menempatkan 30 kanak-kanak di situ.

Sheikh Omar Ali bersama Guru Besar Sekolah Agama Kem Mahkota,

Sehubungan itu, Pejabat Ahli Parlimen Kluang yang diwakili oleh Sheikh Omar Ali dan Keristinah Philips semalam berkunjung ke kedua-dua sekolah untuk memberi sumbangan berupa kertas A4 untuk kegunaan Sekolah Agama itu sepanjang tahun ini.

“Bagi taman permainan mini Tadika Agama Johor pula, kami memberikan sumbangan kecil berbentuk wang tunai.

“Walaupun jumlah pemberian ini tidak mencukupi, kami akan mengambil inisiatif lain untuk mendapatkan rakyat Kluang yang prihatin menyumbang bagi memenuhi keperluan sekolah,” kata Sheikh Omar Ali dalam kenyataannya kepada Roketkini.

Menurutnya, sejak awal tahun ini, Pejabat Ahli Parlimen Kluang menerima kehadiran ramai ibu bapa yang memohon bantuan persekolahan.

“Meskipun dasar kerajaan BN yang memimpin negara dan negeri Johor tak pernah memberi peruntukan khusus kepada wakil rakyat pembangkang, pihak kami akan cuba sedaya-upaya untuk membantu bagi meringankan beban rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha DAP Johor itu turut menyeru kepada rakyat Kluang yang murah hati agar bersama-sama menghulurkan bantuan kepada pihak Sekolah Agama dan Tadika Agama Johor di Kem Mahkota.

“Ia adalah untuk memastikan kesempurnaan anak-anak ini untuk menuntut ilmu,” ujarnya.

Mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Pusat Komuniti Kluang di talian 013-296 5724 atau Puan Fazlun Othman dari Badan Kebajikan Sekolah Agama Kem Mahkota di nombor 016-708 0956. – Roketkini.com