Rencana

Barah rasuah berleluasa, apa inisiatif kita?

Saya gemar menonton dokumentari Air Crash Investigation kerana di hujung episod pasti akan menunjukkan bagaimana NTSB akan mengeluarkan syor penambahbaikan, FAA (Federal Aviation Administration) akan menguatkuasakan peraturan baru dan industri kemudiannya bertindakbalas terhadap syor-syor dan peraturan tersebut. Inilah reaksi yang perlu diambil selepas berlakunya satu-satu tragedi.

Penambahbaikan terhadap kelemahan, loop hole atau kerenah birokrasi adalah sangat penting untuk mengelakkan berulangnya tragedi seumpamanya yang akan mengakibatkan kehilangan nyawa manusia dan kerugian-kerugian lain.

Begitulah reaksi NTSB, FAA dan industri penerbangan di Amerika Syarikat setiap kali berlakunya kemalangan pesawat komersial. Di Malaysia, saban tahun kita pasti akan mendengar kes-kes rasuah, salah urus tadbir dan penyelewengan dilaporkan.

Daripada Laporan Ketua Audit Negara sehinggalah kepada yang terkini penahanan beberapa individu oleh SPRM berkait skandal penyelewengan kuota bumiputera di Johor. Sayangnya kita tidak dapat melihat reaksi komprehensif daripada kerajaan.

Sepatutnya apabila terdedahnya skandal-skandal sebegini, kerajaan perlu melihat semula dasar-dasar mereka. Satu penilaian perlu dibuat untuk mencari di mana titik kelemahan yang berpotensi untuk dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Ia bukan sekadar membiarkan pihak berkuasa dan mahkamah untuk menangkap dan menjatuhkan hukuman semata-mata, tetapi yang lebih penting adalah kebertanggungjawaban kerajaan untuk memperbaiki kelemahan sebarang dasar untuk meminimakan potensi berlakunya penyelewengan.

Kita memang mempunyai Jabatan Audit Negara untuk membuat penilaian dan mengeluarkan syor tetapi berapa banyak syor mereka yang telah diambil tindakan pembaikan oleh kerajaan?

Selain Jabatan Audit Negara, kerajaan boleh menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai oleh masyarakat sivil untuk membuat penilaian dan menyemak semula semua dasar strategik negara seperti dasar pemilikan hartanah dan lain-lain. Dapatan kajian dan syor-syor jawatankuasa ini kemudiannya didedahkan kepada umum.

Jawatankuasa Pilihan Khas di peringkat Parlimen (legislatif) juga perlu ditubuhkan untuk menyemak reaksi kerajaan terhadap syor yang dikemukakan oleh Jabatan Audit Negara atau Jawatankuasa Bebas. Ini masanya kita berikan kerja sebenar kepada anggota Parlimen yang telah dipilih rakyat.

Sampai bila anggota Parlimen sekadar menjadi pekerja pusat aduan dan pekerja kebajikan sahaja? Beri mereka kerja yang sepatutnya mereka lakukan. Sementelah, Parlimen sememangnya satu badan semak-dan-imbang terhadap jentera pentadbiran.

Saya akui kita mungkin tidak akan dapat menghapuskan rasuah, penyelewengan dan salah urus tadbir sepenuhnya tetapi, sekurang-kurangnya kita berusaha menambah baik dasar kita dan mengelakkan skandal-skandal penyelewengan berlaku lagi. Saya tidak mahu mengulas mengenai sistem pemilikan hartanah dan perolehan kerajaan, siri kes penyelewengan yang telah didedahkan membuktikan terdapat kelemahan dalam sistem itu.

Kerajaan yang bertanggungjawab bukan sekadar menggubal polisi, memberikan bantuan tunai, membina infrastruktur dan sebagainya tetapi juga perlu sentiasa menilai dasar-dasar yang digubal supaya setiap kelemahan dapat diperbaiki sehingga tidak memungkinkan untuk mereka yang berselera besar memanipulasi demi keuntungan poket mereka sendiri. Ini barulah boleh dinamakan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab.

Saya bimbang kerana skandal penyelewengan hartanah Johor ini melibatkan orang-orang muda. Orang muda adalah pelapis dalam hirarki politik. Apabila orang muda mula seronok untuk melakukan penyelewengan, rasuah dan salah urus tadbir, ke manakah masa depan Johor dan negara kita ini?

Sampai bila kita akan dihidangkan dengan berita-berita skandal penyelewengan yang terhasil daripada kelemahan dasar kita sendiri? Rasuah, penyelewengan dan salah urus tadbir sudah jadi barah.

Bezanya apabila kita menghidapi barah, kita berusaha untuk memulihkannya. Rasuah, penyelewengan dan salah urus tadbir merebak tetapi tiada ada usaha untuk memulihkannya sehingga sekarang ini orang muda juga seolah-olah tidak merasa salah untuk terlibat melakukannya. Ini sangat bahaya untuk masa depan negara kita.

Jika kerajaan terus membutakan mata dan memekakkan telinga, rakyat harus menyelamatkan negara ini dengan menghukum mereka dalam Pilihanraya Umum Ke-14 nanti. Takkan kita mahu berbangga menjadi seorang rakyat negara kleptokrasi

*Ahmad Anwar Asyraf merupakan Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor