Berita

Kutip cukai tapi tak buat pembangunan, BN tak wajar salahkan pembangkang – DAP Sarawak

KUCHING, 2 MAC: Pembangkang tidak wajar dipersalahkan atas kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak membangunkan infrastruktur kawasan Skim Penempatan Semula Stutong dekat sini.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata ini kerana adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan di kawasan itu terlaksana.

Tambahan pula, katanya, kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengutip cukai taksiran setiap tahun daripada penduduk di kawasan berkenaan.

“Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk melaksanakan pembangunan infrastruktur di kawasan itu.

“Jika kerajaan BN tidak berhasrat untuk bangunkan kawasan itu, mereka tidak berhak dan tidak mempunyai alasan untuk mengutip cukai taksiran daripada pemilik rumah di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Ketua Biro Aduan Awam SUPP, Wilfred Yap yang menyalahkan pihak pembangkang ekoran ketiadaan pembangunan di kawasan Skim Penempatan Semula Stutong sejak 10 tahun yang lalu.

Mengulas lanjut, Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata, jika dakwaan Wilfred terbukti benar, kerajaan negeri harus memulangkan semula cukai taksiran yang telah dibayar penduduk.

“Mengikut perkiraan secara kasar, jumlah keseluruhan cukai taksiran yang dibayar kepada MBKS oleh pemilik rumah di kawasan itu untuk 10 tahun yang lalu mencecah RM10 juta,” katanya.

Adun Kota Sentosa itu turut menggesa Menteri Kerajaan Tempatan, Dr. Sim Kui Hian bertanggungjawab terhadap dakwaan itu serta meminta supaya pihaknya mendedahkan jumlah cukai taksiran yang telah dibayar penduduk kawasan berkenaan.

“Saya menggesa supaya Dr. Sim tidak lari dari tanggungjawabnya dan bertanggungjawab terhadap penduduk berkenaan dan beritahu kami berapa banyak yang telah dikutip MBKS daripada mereka,” tegasnya. – Roketkini.com