Berita

Kesukaran pesara kerajaan dapatkan bekalan ubat harus diatasi segera

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa tampil membela nasib lebih 750,000 pesara kerajaan yang sejak 27 Februari lalu dinafikan hak memiliki ubat dan alat perubatan tanpa perlu membayar.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini kerana Najib Razak pada 2015 ketika merasmikan Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dalam ucapannya dilihat bersungguh-sungguh ingin membantu meringankan beban golongan itu.

“Setelah berkhidmat hampir seumur hidup dalam kerajaan, adakah ini layanan dan ganjaran yang diberikan kerajaan terhadap 750,000 pesara kerajaan dengan memperkotak-katikkan mereka?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penamatan kontrak syarikat pengendali pembekalan ubat dan alat perubatan, Oratis Rx Sdn Bhd.

Syarikat berkenaan dilantik kerajaan sebagai perantara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pesara kerajaan bagi membekalkan ubat yang tidak disediakan hospital atau klinik kerajaan daripada farmasi, klinik dan hospital swasta.

Ekoran penamatan kontrak itu, pesara kerajaan yang ingin memiliki ubat dan alat perubatan terpaksa membayar dahulu harga ubat dan alat perubatan yang diperlukan dan menuntut semula jumlah bayaran tersebut daripada JPA.

Ia berbeza dengan sistem e-Mass yang dikendalikan Oratis Rx sebelum ini yang membenarkan pesara kerajaan memesan ubat dan alat perubatan secara atas talian tanpa perlu mengeluarkan sesen pun bagi mendapatkan bekalan tersebut.

Dalam pada itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, seluruh rakyat Malaysia berhak tahu mengapa Oratis Rx dilantik kerajaan sebagai orang tengah dan mengapa kontraknya tiba-tiba tidak disambung.

“Malah, siapakah ‘kroni’ yang mendapat manfaat, dan apa yang akan dilakukan kerajaan bagi membolehkan 750,000 pesara kerajaan berkenaan mendapatkan bekalan ubat dan alat perubatan yang tidak ada di hospital kerajaan?” soalnya.

Beliau menggesa Najib Razak mengadakan mesyuarat segera dengan pegawai JPA yang bertanggungjawab dan memaklumkan jalan penyelesaian terhadap kesulitan yang  terpaksa dihadapi ratusan ribu pesara kerajaan itu. – Roketkini.com