Berita

Satu undi kepada BN bermakna satu undi untuk rasuah, Pakatan tawar 3 penyelesaian

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Pakatan Harapan (PH) menawarkan tiga langkah penyelesaian mengekang amalan rasuah yang semakin bermaharajalela di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak jika berjaya menewaskan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Ini kerana, gejala rasuah yang tidak terkawal saat ini telah menyebabkan kehidupan rakyat semakin terhimpit dengan beban kos sara hidup yang tinggi, menyebabkan kemerosotan nilai matawang ringgit, pemotongan peruntukan untuk sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan dan pelaksanaan cukai GST.

Tawaran tersebut telah ditandatangani oleh pemimpin dari komponen PH iaitu Tony Pua Kiam Wee mewakili DAP, Rafizi Ramli mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mewakili Parti Amanah Negara (Amanah).

Tiga tawaran itu ialah dengan memastikan tiada campurtangan politik dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), agensi pelaburan dan khazanah negara.

“Kesemua ini akan dibenarkan untuk membuat keputusan berdasarkan mandat pelaburan daripada mandat rakyat,” kata kenyataan tersebut.

Selain itu, seseorang yang berwibawa harus dilantik menjadi peguam negara yang diberi kebebasan untuk menjalankan tugas-tugas siasatan terhadap sesiapa sahaja mengikut Perlembagaan.

Tawaran ke tiga ialah dengan memastikan kebebasan media, termasuk agensi-agensi berita dan penyiaran berita milik rakyat yang dibenarkan berfungsi secara bebas dan saksama.

“Dengan skandal-skandal 1MDB, Jabatan Air Negeri Sabah, Felda, dan Majlis Amanah Rakyat, ini membuktikan bahawa budaya korupsi yang diamalkan oleh Kerajaan Umno BN semakin membarah.

“Oleh yang demikian, Pakatan Harapan menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang menentang rasuah dan inginkan perubahan untuk segera mendaftar dan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang,” kata kenyataan itu. -Roketkini.com