Berita

Bila masa DAP kata kerajaan hentikan bekalan ubat?

KUALA LUMPUR, 3 MAC: DAP tidak pernah sama sekali menuduh kerajaan telah menghentikan bekalan ubat dan alat perubatan kepada pesara kerajaan dan veteran berpencen.

Sebaliknya DAP menegaskan bahawa penamatan sistem Electronic Medical Automation Supply System (e-MASS) sejak 27 Februari lalu menyukarkan proses mendapatkan bekalan ubat di kalangan 750,000 pesara kerajaan.

Ia kerana mereka yang ingin memiliki ubat dan alat perubatan terpaksa membayar dahulu harga ubat dan alat perubatan sebelum menuntut semula jumlah bayaran tersebut daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Itu tegas Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, menempelak sebaran mesej whatsapp oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bertajuk ‘Fitnah Lim Kit Siang dan pembangkang dipatahkan lagi’ pagi tadi.

Menyifatkan mesej JASA itu sebagai tidak relevan dan berunsur penipuan, beliau berkata Ketua Pengarah JASA, Datuk Puad Zarkashi harus mengkaji terlebih dahulu apa yang diucapkan pemimpin-pemimpin pembangkang sebelum mengeluarkan mesej sebegitu.

“Saya cabar Puad buktikan sesiapa di kalangan kami, Teresa Kok, Nie Ching atau saya sendiri pernah menyatakan kerajaan telah berhentikan pembekalan ubat kepada pesara kerajaan.

“Jika Puad tak dapat fahami bahasa mudah kami, kami pelik bagaimana beliau boleh menuntut pengajian sehingga ke peringkat PhD.

“Atau adakah Puad terlalu ‘jahat’ sehingga sanggup menuduh kami mengatakan perkara yang tidak kami katakan?” soalnya. – Roketkini.com