Berita

Skandal hartanah Johor bukti UMNO gagal bela Bumiputera

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Penyelewengan melibatkan pertukaran status hartanah bumiputera di Johor baru-baru ini merupakan bukti kukuh kerajaan UMNO – Barisan Nasional gagal melindungi kepentingan bumiputera.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub berkata, tindakan jijik itu telah mencemarkan nilai integriti warga Johor yang patut dipelihara bagi memastikan pentadbiran negeri bebas dari budaya rasuah.

“Saya ingin mempersoalkan kelemahan pentadbiran negeri Johor yang seolah-olah mudah bagi mereka untuk mengekspoitasi wang rakyat.

“Bayangkan dengan wang yang begitu banyak bocor itu, kita boleh manfaatkan kepada rakyat Johor dengan pelbagai projek dan bantuan untuk rakyat,” tegasnya, seperti yang dipetik portal berita Malaysia Dateline.

Dalam pada itu, Salahuddin turut mahu semua pegawai kerajaan Johor, termasuk Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin mengisytiharkan harta sebagaimana yang pernah disarankan beberapa pimpinan Pakatan Harapan sebelum ini.

Beliau kemudiannya meminta siasatan dilakukan terhadap seluruh anggota Exco negeri bagi memastikan tidak wujud unsur penyelewengan lain dalam kerajaan negeri.

“Ini kerana kes yang melibatkan jutaan wang rakyat ini perlu kepada siasatan menyeluruh,” ujarnya.

Enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas penjawat awam Johor baru-baru ini ditahan kerana disyaki terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu.

Mereka dipercayai terlibat dalam penukaran status rumah-rumah bumiputera kepada bukan bumiputera secara tidak sah sejak 2013. – Roketkini.com