Berita

Sistem daftar pengundi SPR ketinggalan zaman, perlu berubah

SUBANG JAYA, 4 MAC: DAP sekali lagi menegaskan keperluan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, SPR setidak-tidaknya perlu memastikan mereka yang berdaftar sebulan atau seminggu sebelum hari pembuangan undi diberi peluang untuk menjadi pengundi pada hari tersebut.

“Di bawah sistem IT kuno SPR, hanya 27 hari sahaja tinggal dalam bulan Mac ini untuk orang ramai mendaftarkan diri sebagai pengundi dan layak mengundi jika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dilaksanakan pada Julai atau September tahun ini.

“Kerana dengan sistem sekarang, hanya mereka yang mendaftarkan diri sebagai pengundi sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pilihan raya dibenarkan mengundi pada PRU yang seterusnya,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, negara lain sudah tidak mengguna pakai sistem ketinggalan zaman seperti SPR itu sebaliknya memproses segera pendaftaran pengundi.

“Di negara-negara lain mereka ada sistem di mana pengundi yang mendaftarkan diri pada hari ini boleh mengundi keesokannya.

“Bilalah agaknya SPR akan mengekor kemajuan arus masa kini khususnya melibatkan pendaftaran pemilih?” soalnya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah seperti dilaporkan media semalam yang mendedahkan bahawa terdapat 4.1 juta rakyat negara ini yang layak mengundi masih belum berdaftar sebagai pengundi setakat bulan lalu. – Roketkini.com