Berita

DAP Pensiangan lancar pergerakan wanita

PENSIANGAN, 4 Mac: Wanita DAP Pensiangan dilancarkan dalam satu majlis sederhana tapi meriah di Kg. Molosok, Sook dekat sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang.

Ia ditubuhkan sebagai persiapan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Jannie dalam ucapannya berkata wanita harus berani menjadi tonggak perubahan negara.

“Wanita harus di depan dan jangan lagi berfikir wanita itu lemah dan tidak boleh.

“Wanita pada masa ini harus percaya diri bahawa wanita mampu membawa perubahan,” ujarnya dihadapan kira-kira 200 penyokong.

Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang

Katanya, tawaran ‘Sabah Baru’ yang dibawa DAP mampu membawa pelbagai perubahan terhadap negeri itu.

“Hanya melalui DAP kita dapat mencipta Sabah Baru, untuk menangani masalah seperti hak tanah, pendidikan dan perkara lain yang tidak mampu diselesaikan kerajaan kini.

“DAP adalah parti yang memikirkan transformasi ekonomi terutama penduduk kampung apalagi melalui wanita bermula dari perkara yang kecil.

“Kita impikan kerajaan yang bebas rasuah dan bersedia berkhidmat untuk rakyat bukan untuk poket sendiri,” ujarnya.

Majlis turut menyaksikan penyerahan borang keahlian daripada 30 wanita di sini kepada Jannie.

Sementara itu, Penyelaras DAP Sook, Clare Taunek Simbat berkata, sudah tibanya masanya wanita bangkit melawan ketidakadilan kerajaan Barisan Nasional yang melaksanakan pelbagai dasar membebankan.

Penyelaras DAP Sook, Clare Taunek Simbat

“Sebagai wanita yang biasa menguruskan hal ekonomi rumah tangga, kenaikan harga barang dan pelaksanaan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) sangat dirasai dan membuatkan kehidupan pada masa ini semakin sukar.

“Bayangkan jika keadaan begini di bawah pemerintahan kerajaan Kleptokrasi yang penuh dengan rasuah. Jangan kita perturunkan rasa susah ini kepada anak-anak kita.

“Cukuplah apa yang sudah kita rasai ini, sudah tiba masanya wanita bangkit dan membawa perubahan. Wanita adalah kunci perubahan di Pensiangan dan DAP memberi wanita keistimewaan hak bersuara,” katanya. – Roketkini.com