Berita

Skandal hartanah Johor: Banyaknya alasan Khaled Nordin, tapi mana penjelasan?

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin akhirnya mengaku kerajaan negeri membenarkan penukaran status rumah bumiputera kepada bukan bumiputera di negeri itu.

Namun, kenyataannya berhubung skandal hartanah Johor itu sekadar alasan berbanding penjelasan, kata Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Menurutnya, selepas tujuh individu ditahan dan 45 akaun bank bernilai RM15.5 juta dibeku, rakyat mengharapkan kerajaan negeri membuat siasatan menyeluruh, termasuk mengambil juruaudit bebas untuk meneliti penukaran status itu.

“Terlalu banyak soalan yang perlu (Khaled) jawab. Adakah mereka yang disiasat SPRM itu hanya sebahagian kecil daripada seluruh skandal?

“Kerajaan Negeri telah memperolehi RM600 juta dari skim itu, iaitu jumlah yang banyak. Apakah wujud penyelewengan lain?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khaled semalam dilapor menyatakan kononnya penukaran status rumah bumiputera itu adalah untuk ‘mengurangkan lambakan kediaman mewah’.

“Jumlah yang ditetapkan ialah 7.5 peratus, bersamaan 50 peratus daripada 15 peratus diskaun Bumiputera,” ujarnya.

Sehubungan itu, Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang meminta Khaled menjelaskan isu tersebut secara terperinci di Dewan Undangan Negeri pada 9 Mac akan datang.

“Ia patut dilaksanakan sama ada menerusi Kertas Putih atau dengan membenarkan debat melalui usul tergempar yang dibuat oleh Adun DAP, Yeo Tun Siong.

“Rakyat Johor berhak mendapat penjelasan yang benar dan jujur,” tegasnya. – Roketkini.com