Rencana

Skandal hartanah Johor dan pekung kerajaan pimpinan Khaled Nordin

Siasatan kes penyelewengan dalam skandal hartanah di Johor membabitkan enam individu termasuk anak dan seorang pegawai khas kepada seorang Exco kerajaan negeri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini dilihat membuka lebih banyak pekung tersembunyi kerajaan negeri pimpinan UMNO.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini mengakui bahawa sememangnya kerajaan negeri membenarkan penukaran status rumah bumiputera kepada status bukan bumiputera. Alasan yang diberikan adalah bahawa ia merupakan usaha untuk mengurangkan lambakan kediaman mewah.

Khaled Nordin ketika ucapan penggulungan perbahasan belanjawan negeri tahun lepas memfitnah DAP tidak menjaga kepentingan bumiputera. Cuba bermain retorik bahawa diri dan kerajaan pimpinannya wira bumiputera. Adalah melucukan apabila dasar kerajaan negeri yang dibincangkan ini menunjukkan sebaliknya. Tindakan menukar status bumiputera perumahan-perumahan itu tidak lain hanya bertujuan menguntungkan pemaju, bukannya rakyat Malaysia tidak kira bumiputera atau bukan bumiputera.

Ketua Eksekutif Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim di dalam satu laporan The Malay Mail Online menyebut tentang kurangnya perumahan dalam lingkungan harga yang mampu dimiliki oleh 50 peratus populasi di Johor, iaitu sekitar RM150,000 hingga RM450,000.

Ini memberikan petunjuk bahawa pemaju-pemaju di Johor selama ini lebih berminat membina rumah-rumah mewah mampu tengok berbanding rumah mampu milik. Tidak sukar memahami logik kepada tindakan pemaju. Semuanya atas nama keuntungan. Pemaju dapat membuat untung berlipat ganda melalui pembinaan rumah mewah berbanding rumah-rumah mampu milik untuk rakyat.

Apabila pemaju-pemaju yang sekadar memikirkan keuntungan ini berdepan dengan masalah akibat daripada permintaan rendah untuk rumah-rumah mewah, berbanding membiarkan pasaran menghukum sifat tamak mereka, kerajaan negeri UMNO di Johor cuba menyelamatkan mereka dengan membenarkan penukaran status-status perumahan bumiputera.

Dengan adanya kerajaan negeri selaku penyelamat, pemaju-pemaju kini boleh terus membina rumah mewah demi mengaut lebih banyak keuntungan tanpa perlu berdepan dengan risiko kurangnya permintaan.

Pro-Pemaju Merugikan Rakyat Malaysia

Ramai sudah maklum berkenaan peningkatan mendadak pemilikan warga asing terhadap hartanah di Johor berdasarkan jawapan kerajaan negeri kepada pertanyaan Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Senai, Wong Shu Qi bertarikh 12 Februari 2015.

Tiada masalah untuk menggalakkan pelabur asing atau membuka ruang kepada orang luar membeli hartanah-hartanah kita. Namun perlu wujud keseimbangan dan bukannya ke tahap kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.

Tindakan kerajaan negeri yang hanya mementingkan keuntungan pemaju akan menyebabkan masalah ini semakin membarah.

Rumah-rumah mewah ini terlalu mahal untuk dibeli oleh warga Malaysia, pada masa sama kebanyakkan berada pada paras siling yang dibenarkan pemilikannya kepada warga-warga asing. Menjadikan penetapan harga siling untuk pemilikan warga asing ibarat sekadar acah-acah bahawa kononnya kerajaan memandang serius isu ini.

Data menunjukkan untuk pembinaan jangka masa sederhana, rumah mampu milik yang sedang dalam pembinaan untuk tempoh 2013 hingga 2016 hanyalah sebanyak 11,600 unit saja sedangkan pemaju telah menjual sebanyak 21,797 unit rumah kepada warga asing (2009 hingga 2014).

Kerjasama kerajaan negeri UMNO di Johor dan pemaju membuatkan pemaju makin rancak membina rumah-rumah mewah. Ini menarik minat dan membuka lebih peluang kepada warga asing yang sememangnya menanti untuk menerkam hartanah-hartanah dalam negara. Dan tindakan kerajaan negeri Johor yang pro-pemaju menggangu keseimbangan itu lalu membiarkan rakyat, baik bumiputera mahupun bukan bumiputera terkapai-kapai dalam masalah pemilikan rumah.

Sebuah kerajaan negeri yang bagus sepatutnya tidak mengabaikan rakyat dalam apa jua dasar mereka. Kerajaan negeri sepatutnya berusaha mewujudkan dasar-dasar yang membantu pemilikan rumah rakyat tempatan dan bukannya menambahkan lagi masalah pemilikan. Tidak perlulah mencanangkan diri sebagai wira kepada mana-mana komuniti tetapi hakikatnya ‘menggadaikan’ nasib kesemua komuniti.

Kerajaan negeri Selangor yang dituduh kononnya dikuasai DAP tidak perlu bermain dengan retorik bumiputera tetapi memperlihatkan peningkatan pesat tanah rizab Melayu, dua kali ganda sejak mengambil alih kerajaan pada tahun 2008. Tanpa perlu mendabik dada menjadi wira pada mana-mana komuniti, semua rakyat merasai manfaat dari kerajaan negeri Selangor, khususnya bumiputera. Kurangkan bermain retorik, banyakkan bekerja. Berjuang untuk semua rakyat Malaysia!

*Edry Faizal ialah Ahli Jawatankuasa DAP Selangor