Rencana

Ibrahim Singgeh : Nasionalis Melayu Berjiwa Malaysia

Ibrahim Singgeh mungkin merupakan satu nama yang asing bagi pemerhati politik masa kini. Namun, nama itu mencatatkan sejarahnya yang tersendiri, walaupun tidak pernah disebut dalam mana-mana buku teks sejarah yang rasmi, sama ada di sekolah atau di pusat pengajian tinggi di negara ini.

Dengan itu, di kalangan orang Melayu sendiri, nama itu menjadi terasing walau sumbangannya amat besar dalam perjuangan menentang penjajah British.

Pada 1969, beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang pertama di kalangan orang Melayu bagi DAP. Beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tapah Road apabila mendapat 3,319 undi berbanding saingannya daripada Perikatan yang memperolehi 2,986 undi; calon PAS pula hanya mendapat 753 undi.

Ia adalah kejayaan cemerlang untuk dirinya serta DAP yang kali pertama bertanding Pilihanraya Umum. Kewujudan Barisan Nasional pada 1974 pula yang membawa parti-parti pembangkang utama menyertai komponen Perikatan di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak memberi kesan besar kepada pembangkang yang ada pada masa itu, terutamanya DAP dan PSRM (iaitu Parti Rakyat yang ditukar nama kepada Parti Sosialis Rakyat Malaya pada 1968).

Ini termasuk dengan faktor ketakutan di kalangan pengundi yang diracuni fikiran mereka oleh media yang dikuasai kerajaan agar tidak memilih pembangkang demi mengelakkan berulangnya tragedi 13 Mei 1969 sebelum itu.

Dengan itu, pembangkang mengalami kekalahan teruk dalam PRU 1974. Ibrahim yang diberi penghormatan bertanding kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN telah gagal dalam percubaannya. Beliau tewas di kerusi Parlimen Tanjung Malim dan DUN Chenderiang.

DAP dan Melayu

Namun di sebalik kekalahan itu, PRU 1974 mencatat sejarah penting kepada DAP, khususnya di Perak, kerana meletakkan sebegitu ramai calon Melayu. Sejarah itu kini cuba dipadamkan oleh pemimpin dan pencacai UMNO yang takut menerima hakikat bahawa DAP adalah parti pelbagai kaum yang berteraskan demokrasi, hak asasi dan peluang saksama.

Pada PRU 1974, seramai 14 daripada 33 calon DAP yang bertanding bagi DUN Perak adalah orang Melayu, dan Ibrahim sendiri diputuskan pucuk pimpinan DAP sebagai bakal menjadi Menteri Besar jika kerajaan baru berjaya dibentuk di negeri itu. Selain Ibrahim, nama-nama tokoh DAP dari kalangan Melayu yang turut bertanding dalam PRU 1974 adalah Daeng Ibrahim Othman, Fadzlan Yahya dan Salleh Nakhoda Hitam. Warga wanita juga mendapat penghormatan apabila Zaharah Ibrahim diletakkan bertanding dengan Tan Sri Ghazali Jawi di DUN Kenering – Ghazali menang dan dilantik menjadi Menteri Besar Perak (untuk kali kedua) pada 1974.

Bagaimanapun, tiga tahun kemudian Ghazali telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan mengosongkan kerusi DUN Kenering. Jadi, pada 1977, satu Pilihanraya Kecil diadakan di mana Ibrahim mencuba nasibnya tetapi gagal apabila tewas kepada calon BN, Tajol Rosli, yang merupakan anak Ghazali. Tajol Rosli kemudian menjadi Menteri Besar Perak pada 1999 – 2008.

Beliau mencuba lagi dalam PRU 1978 bagi DUN Tapah tetapi sekali lagi gagal. Pada masa itu usia beliau sudah mencecah 60 tahun. Percubaan terakhirnya bertanding ialah dalam PRU 1982 bagi DUN Batang Padang yang turut gagal mencapai kemenangan. Selepas itu, beliau masih bergerak aktif dengan parti tetapi tidak lagi bertanding, khususnya kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Ketokohannya di Perak, walaupun tidak tersebar di mana-mana media yang dikuasai pemerintah, membuatkan ramai pemimpin DAP teruja dengannya. Seperti yang ditulis awal tadi, menjelang PRU 1974, Lim Kit Siang pada 21 Julai telah mengumumkan bahawa:

“Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP telah memutuskan untuk bertanding hampir kesemua kerusi di Perak, dan jika ditakdirkan DAP membentuk Kerajaan Negeri Perak, saudara Ibrahim bin Singgeh, selaku Timbalan Setiausaha Agung dan Adun Tapah Road, akan menjadi Menteri Besar Perak.”

Menghimbau kembali sejarah perjuangannya, kita tidak dapat mengelakkan diri daripada mengaitkan semangat nasionalisme Melayu di Malaya yang timbul dari negeri Perak. Nama Ibrahim sebaris dengan nama-nama pejuang nasionalis Melayu yang juga anti-penjajah serta pejuang kemerdekaan yang berasal dari Perak seperti Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Abu Bakar Baqir, Abdullah CD, Rashid Maidin, Profesor Zulkifli Muhammad dan ramai lagi.

Semangat juang di usia muda

Menurut anak-anaknya, Ibrahim dilahirkan di Kampung Banir, Tapah pada 1918. Selepas bersekolah di Tapah, beliau mencari nafkah sekitar Perak dan seketika kembali ke watan bapanya di Sumatera sebelum Perang Dunia Kedua. Sejurus selepas pendudukan Jepun sekitar 1942, beliau kembali ke Perak dan bergiat dalam politik anti-Jepun dengan menyertai Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA). Semangat nasionalisme begitu berkobar-kobar sehingga beliau terus menyertai Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestaman ditubuhkan pada 1946. API lantang dengan slogan “Merdeka Dengan Darah”. Pada masa itu, selain API serta badan induknya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), dan Parti Komunis Malaya, tiada parti lain yang berani menuntut kemerdekaan penuh daripada penjajah British.

Harga yang terpaksa dibayar kerana keberaniannya itu, Ibrahim ditahan tanpa bicara oleh penjajah British apabila Darurat diisytiharkan pada 1948. Lima tahun lamanya beliau meringkuk di dalam penjara. Selepas dibebaskan, bukan sahaja beliau tidak serik, malah semangat perjuangannya semakin kental. Beliau memilih jalan yang jarang menjadi pilihan pejuang Melayu, iaitu bergerak aktif dalam pergerakan buruh. Pada masa itu lebih ramai orang Melayu terikat dengan sistem pertanian yang bersifat feudal berbanding kaum-kaum lain yang dibawa oleh British untuk sektor-sektor perlombongan, perladangan dan bidang-bidang pekerjaan kolar biru yang lain. Daripada kesatuan pekerja buruh lombong di Perak, beliau dilantik memegang jawatan bahagian penerangan dalam pertubuhan buruh terbesar pada masa itu, Pan-Malayan Federation of Trade Unions (PMFTU).

Apabila Ahmad Boestamam – yang turut ditahan British pada 1948 – dibebaskan daripada tahanan tanpa bicara selepas tujuh tahun, beliau menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM) pada 1955. Ibrahim menyertainya untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan melawan British, serta UMNO dan Perikatan yang didukung oleh British. Pengalamannya bersama dengan PRM, serta sewaktu dengan MPAJA ketika pendudukan Jepun, telah awal-awal lagi membuka mata dan mindanya untuk bersama kaum-kaum Cina dan India menuntut hak dan kemerdekaan. Bersama PRM yang kemudiannya bergabung dengan Parti Buruh untuk membentuk Front Sosialis selepas Merdeka, beliau berjuang atas dasar sosialisme dan nasionalisme, dan politik kaum.

Menyertai DAP

Sekitar pertengahan 1960-an, Ibrahim meninggalkan PRM. Mungkin ia berkaitan dengan masalah dalaman parti di mana golongan muda yang tidak sebulu lagi dengan Boestamam sebagai pemimpin mereka – dan Boestamam pula menubuhkan parti yang baru pada 1968. Bagi Ibrahim, beliau tidak bersara daripada politik. Sebaliknya, beliau diajak rakan-rakan politik daripada parti lain untuk bersama mereka. Yang menjadi pilihan beliau adalah DAP.

Dalam pertemuan The Rocket/Roketkini dengan dua anaknya, Rohani, 71, dan Rusmawaty, 56, mereka berkongsi pengalaman bapa mereka yang membawa rentetan sejarah perjuangan yang panjang serta penuh suka duka dan pahit manis. Wawancara ini juga diadakan di rumah Ibrahim di Kampung Banir yang menjadi kediamannya sejak lahir.

“Selepas dia tak aktif lagi dengan PRM, ayah pulang ke kampung. Dia kembali menoreh getah. Walaupun begitu, dia tetap baik dengan Boestamam. Kemudian Ahli Majlis Tapah, Loh Jee Mee ajak ayah masuk DAP. Dia ajak ayah bertanding pilihan raya. Ayah kata pada Jee Mee, ‘aku memotong getah, mana ada duit nak bertanding’. Kalau kamu sanggup, kata Jee Mee, aku carikan wang untuk bertanding. Masa itu kerusi Parlimen Batang Padang milik UMNO,” cerita Rohani.

Tambah beliau, heboh seketika kerana “Ibrahim masuk parti Cina” tetapi kebetulan mood rakyat pada PRU 1969, termasuk kemarahan pada UMNO lantaran krisis kepimpinan Tunku Abdul Rahman, yang tidak puas hati dengan kerajaan Perikatan, maka DAP yang diwakili Jee Mee berjaya menewaskan UMNO di kawasan Parlimen Batang Padang manakala Ibrahim pula menang di DUN Tapah Road.

Menjadi wakil rakyat

Selepas menjadi ADUN, ramai yang datang meminta bantuan, termasuk golongan yang tidak menyokongnya, tambah Rohani yang pada masa itu usianya sudah 20-an di mana dia meluangkan masa menemani bapanya ke majlis-majlis serta mesyuarat, dan juga sewaktu penamaan calon.

“Oleh kerana selepas PRU 1969 berlaku peristiwa 13 Mei, ada orang tuduh pembangkang yang cetuskan pergaduhan. Ayah senang saja jawab. Katanya takkanlah orang yang menang nak cari gaduh. Tentulah orang yang kalah buat hal. Ramai juga orang terima hujah dia.”

Rusmawaty juga mengingati bahawa bapanya mesra dengan penduduk, suka menolong orang kampung. Sehingga anak-anaknya sendiri bengang kerana jarang mereka dapat rehat sekeluarga kerana rumah mereka menjadi tumpuan orang kampung bertemu dengan wakil rakyat mereka.

“Masa itu mana ada pondok telefon di kampung. Ayah pasang telefon untuk orang kampung guna bagi hal-hal penting seperti sakit nak ke hospital atau apabila ada kematian.”

Malah, katanya, bapa mereka pernah menjelaskan bahawa telefon di rumah mereka khas untuk orang kampung, dan bukannya milik keluarga, walaupun beliau yang membayar bil. Sampaikan orang yang tidak sokong DAP pun dijaganya dengan baik.

“Kerana itulah dia tak ada apa harta pun tinggal…Inilah harta, anak-anak dia. Kamilah ini. Lihat rumah ini, dulu dindingnya kulit kayu. Rumah macam nak runtuh. Bila saya tanya ayah, mengapa tak buat rumah baru, dia jawab, ‘ayah mana ambil duit, tambahan pula kita pembangkang, mana ada duit; UMNO yang banyak duit’.”

Ditanya sama ada mereka kecewa dengan sikapnya yang tulus tetapi tiada berharta itu, Rusmawaty berkata: “Eh, kami tak marah, kami sederhana. Kalau kaya pun susah juga nanti.” Tambahnya, pencen sebagai wakil rakyat sedikit-sebanyak membantu keluarga mereka.

Cerita Rohani pula yang membahasakan dirinya sebagai kakak dalam wawancara ini: “Masa ayah menang PRU 1969, di rumah inilah, pukul 2 pagi orang UMNO datang nak beli dia. Nak beli ayah kakak dengan harga RM50,000. Dijanjikan mereka, ‘kami lantik kau sebagai Exco di Perak, rumah pun ada.’ Tapi ayah jawab dia tak mahu, dia bukan macam katak nak lompat-lompat. Kalau itu pegangannya, yang itulah sampai mati.”

Menurut kedua-dua anaknya itu, Ibrahim memang berpengaruh di Tapah dan Tanjung Malim, bukan sahaja di kalangan kelas pekerja Cina tetapi juga dengan orang Melayu di kampung-kampung di sana. Walaupun tidak menang sejak 1974, aktiviti beliau bersama rakyat tetap berterusan, termasuk bersama-sama dalam ceramah dan mesyuarat DAP di Perak dan di peringkat nasional.

Demi rakyat

Bagi Rohani, bapanya adalah seorang pemimpin yang berani bersuara tanpa berselindung. Memang sifat beliau suka berterus-terang, jujur dan amanah. “Dia macam tu lah. Kalau apa-apa orang susah, dia tolong. Dia betul-betul pegang jawatan wakil rakyat. Mana-mana surau yang tak ada api (elektrik), dia bagi seorang, satu tin minyak gas. Mana yang tak ada lampu, dia bagi satu tin minyak gas untuk bertadarus di surau.”

Malah, katanya, dalam keadaan uzur pun bapanya tetap menghadiri program ceramah DAP pada dekad 1990-an. “Dia dah uzur, tak sihat. Tapi orang minta juga dia berucap. Dia pergi, dia memang gigih orangnya. Orang tua yang gigih, bersemangat.”

Menurut Rusmawaty, adik-beradik mereka yang ramai – daripada Rohani hingga ke adik bongsu mereka Ahmad Khairuddin yang kini berusia 53 tahun – mereka merupakan anak-anak hasil perkahwinan Ibrahim dengan isterinya yang berasal dari Sumatera lebih 70 tahun lalu. Hanya apabila isterinya meninggal dunia pada 1999, barulah beliau mengahwini isteri keduanya yang juga lewat usia sekitar 70-an. Kedua-dua pasangan itu juga dalam keadaan uzur usia sewaktu berkahwin pada tahun 2000.

Daripada kesemua anak-anaknya, tiada seorang pun menjejak langkahnya menyertai politik. Ditanya mengapa, Rohani menjelaskan: “Ayah tak galakkan kami. Kalau dia bertanding pun dia tak ajak anak-anak dia sokong dia. Inisiatif kita sendiri saja.” Ditanya sama ada beliau menyokong dan memangkah nama bapanya di atas kertas undi, dengan ketawa beliau menjawab: “Oh! Dah tentulah, ayah kita.”

Bersahaja dan selamba sahaja Rohani dan adiknya menceritakan kisah bapa mereka. Seperti mana Ibrahim yang digambarkan sebagai seorang yang sederhana hidupnya walaupun perjuangannya keras dan kental, anak-anaknya seperti mewarisi kesederhanaan hidup tersebut. Ini merupakan satu lagi kisah wira yang tidak berdendang dalam sejarah politik Malaysia yang masih ditulis oleh pihak yang menang, pemerintah yang tidak memberi ruang untuk suara alternatif.

Semangat perjuangan anak Perak

Seperti kata Kit Siang menjelang PRU 1974: “Saudara Ibrahim Singgeh adalah seorang insan yang amat rendah hati dan mempunyai kecekalan yang mendalam. Beliau telah dihumban ke penjara dalam perjuangannya menentang penjajah Inggeris demi mencapai kemerdekaan Malaya.

“Sejak lima tahun lalu sebagai Adun Tapah Road, saudara Ibrahim Singgeh telah membuktikan dirinya sebagai wira dan jurucakap semua rakyat Malaysia. Majlis Tertinggi DAP Negeri Perak akan sepenuhnya menjadi pelbagai kaum, seperti mana senarai calon-calon DAP di Perak akan benar-benar pelbagai kaum.”

Walaupun tidak aktif lagi dengan DAP selepas 1990-an, hubungannya dengan pimpinan parti tetap akrab. Malah, menurut Rohani, apabila ayahnya meninggal dunia, ramai orang DAP datang menziarahinya, bukan sahaja rakan-rakan lama, malah para pemimpin baru turut hadir.

Dalam catatan belasungkawanya pada 2010, Pengerusi DAP Perak pada masa itu, Ngeh Koo Ham menyatakan parti kehilangan seorang tokoh yang penting dalam perjuangannya. Salam takziahnya disampaikan kepada keluarga Ibrahim yang meratapi pemergiannya selepas Maghrib 31 Mei 2010. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Sekolah Banir.

Kit Siang sendiri dalam akaun twitternya pada hari meninggalnya Ibrahim mengatakan bahawa Allahyarham merupakan pemimpin yang jujur dan tidak mudah tergugat prinsipnya; dan beliau telah mendahului zamannya dalam perjuangan berasaskan kepelbagaian kaum.

Jika kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan tidak dirampas oleh BN secara rakus dan tidak demokratik pada awal 2009, mungkin nama Ibrahim Singgeh hari ini sudah disemadikan dengan nama sebuah jalan di Perak. Ini merupakan antara cadangan DAP kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Nizar Jamaluddin selepas memenangi kerajaan Perak dalam PRU 2008 secara sah atas pilihan rakyat.

Biarpun tanpa penghormatan itu, bagi generasi masa kini yang mudah lupa atau sengaja dilupakan pemerintah yang zalim, semangat Ibrahim Singgeh tetap menjalar dalam jiwa anak-anak muda yang masih berjuang untuk mencapai kemerdekaan daripada rasuah, salah guna kuasa dan perkauman yang menjadi amalan dalam politik semasa. Kini negeri Perak masih menanti generasi pengganti untuk tokoh-tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan untuk anak cucu mereka hari ini. – Roketkini.com