Berita

Sudah 21 hari diculik, di mana Paderi Raymond Koh?

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Kira-kira 300 individu berkumpul dekat ibu pejabat polis di Shah Alam malam tadi bagi bersolidariti dengan keluarga Paderi Raymond Koh Keng Joo yang diculik pada 13 Februari lalu.

Antara yang hadir termasuklah Naib Ketua Wanita DAP, Hannah Yeoh. Selain itu, pemimpin-pemimpin Parti Amanah, iaitu Mohamad Sabu, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Dr. Dzulkefly Ahmad turut hadir menyatakan simpati dan sokongan kepada keluarga Raymond.

Selain untuk tujuan solidariti, acara vigil itu juga diadakan bagi menuntut jawapan dari pihak berkuasa memandangkan  masih tidak ada sebarang maklumat mengenai keberadaan beliau walaupun sudah 21 hari berlalu sejak paderi itu diculik.

Pun begitu, vigil semalam dikawal ketat oleh kira-kira 50 anggota polis, termasuk pasukan Light Strike Force di sepanjang jalan utama sejak 8 malam.

Menyifatkan kawalan ketat itu tidak perlu, Hannah berkata ia akan hanya mengundang kekeliruan di kalangan mereka yang hadir kerana tidak ada sebarang ucapan kontroversi atau berbaur politik oleh mana-mana pihak.

“Hanya satu ucapan ringkas oleh isteri Paderi Raymond untuk berterima kasih kepada semua yang hadir.

“Saya banyak kali menyaksikan protes provokatif yang diadakan oleh Jamal di Shah Alam (dan pengawasan tidaklah seketat ini).

“Perbezaan kawalan antara di himpunan nyalaan lilin yang aman dengan protes provokatif Jamal adalah amat nyata,” ujar Adun Subang Jaya berkenaan.

Sehubungan itu, Hannah meminta Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara menggunakan sumber sebanyak mungkin bagi menyelesaikan penculikan misteri paderi berkenaan.

“Ia bukan saja untuk keluarga Raymond, tetapi juga untuk melegakan hati rakyat Malaysia yang kini dalam keadaan bimbang kerana peristiwa ini,” katanya.

Raymond diculik pada pagi 13 Februari lalu di Petaling Jaya ketika dalam perjalanan untuk bertemu rakannya.

Rakaman CCTV menunjukkan bahawa kereta Honda Accord yang dinaiki Raymond telah dikepung beberapa kenderaan SUV hitam yang membawa lelaki bertopeng. – Roketkini.com