Berita

DAP cadang usul tergempar kutuk Korea Utara jadikan rakyat Malaysia ‘tebusan’

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Satu usul tergempar yang disokong semua parti bagi mengutuk tindakan Korea Utara menyekat keluar rakyat Malaysia dari negara itu harus dibawa ke Parlimen esok.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, kerajaan Malaysia juga harus menggesa Korea Utara supaya membatalkan larangan yang seakan menjadikan rakyat Malaysia sebagai tebusan tersebut secara serta merta.

“Rakyat Malaysia menyokong sepenuhnya tindakan tegas yang dibuat Putrajaya bagi memastikan keselamatan rakyat negara ini di Korea Utara termasuk tindakan kerajaan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata demikian mengulas tindakan Pyongyang yang menyekat sementara semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu dengan alasan untuk memastikan keselamatan diplomat dan rakyatnya di Malaysia.

Ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara timbul berikutan pertikaian mengenai siasatan pihak berkuasa Malaysia terhadap kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin republik itu, Kim Jong-un.

Dari kiri; Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik; Jeff Ooi (Jelutong); V. Sivakumar (Batu Gajah) dan Oscar Ling Chai Yew (Sibu)

Sementara itu, di Parlimen pada jam 3.05 petang tadi, DAP yang diwakili Setiausaha Antarabangsanya, V. Sivakumar merangkap ketua kokus parti menyerahkan usul ke pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung perkara berkenaan.

Usul mengikut perkara 18 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat itu antara lain menggesa agar kerajaan mempertahankan kedaulatan negara selain memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang dijadikan ‘tebusan’ oleh Korea Utara terjamin.

“Kami juga mencadangkan supaya segala maklumat dan perkembangan mengenai krisis ini disalurkan dengan serta merta kepada semua anggota Parlimen.

“Dewan ini juga perlu dimaklumkan berapakah orang Korea Utara yang berada di Malaysia, termasuk yang bekerja di sini? Apakah kedudukan mereka yang berada di Malaysia ketika ini? Adakah mereka telah mematuhi semua syarat-syarat visa yang dikenakan?” kata usul itu.

Usul berkenaan turut mencadangkan supaya satu misi pendamai yang terdiri daripada anggota Parlimen pembangkang dan kerajaan ditubuhkan bagi mengurus krisis tersebut.

Selain Sivakumar, kokus mengenai perkara itu turut disertai Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, Jeff Ooi (Jelutong), Kula Segaran (Ipoh Barat) dan Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor). – Roketkini.com