Berita

Banyakkan insentif, kemudahan, tingkatkan 60 peratus wanita sertai tenaga kerja

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Malaysia perlu meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita kepada 60 peratus bagi mencapai status negara maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, bagi merealisasikannya, Kerajaan Persekutuan harus menggalakkan golongan wanita untuk bekerja dengan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih adil dan saksama gender.

“Bukan sahaja dengan gaji yang lebih tinggi serta kenaikan pangkat yang setara, tetapi juga pemberian insentif bagi membolehkan anak-anak mereka dijaga dengan baik semasa bekerja.

“Masyarakat kita masih meletakkan penjagaan anak ke atas bahu wanita. Dan ramai wanita yang memilih untuk tak bekerja apabila anak mereka tidak mendapat penjagaan rapi.

“Malangnya, kerajaan persekutuan hari ini tidak serius dalam menangani masalah itu, contohnya dengan menawarkan kemudahan mencukupi serta insentif kewangan,” ujarnya dalam kenyataan sempena Hari Wanita Sedunia hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Bagan itu, kegagalan kerajaan dalam menggalakkan lebih ramai wanita bekerja akan membantutkan usaha Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

“Seperti yang pernah diucapkan Perdana Menteri Britain wanita pertama, “Jika ingin sesuatu itu diperkatakan, tanya lelaki. Jika ingin ia diselesaikan, tanya wanita,” ujarnya.

Hari Wanita Sedunia disambut setiap 8 Mac bagi meningkatkan kesedaran umum tentang hak dan peluang sama rata wanita dalam bidang kerjaya, pendidikan serta pembangunan negara.

Tema bagi tahun ini adalah ‘#BeBoldforChange (#BeraniUntukBerubah). – Roketkini.com